Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Tampan, jelita bukan syarat utama jadi pelakon

    Pemilihan pelakon jelita dan tampan bagi mendukung watak utama dalam drama bagai sudah menjadi syarat wajib dikenakan kebanyakan stesen televisyen (TV) kepada penerbit.

    Namun, pengarah dan pelakon tersohor, Fauziah Datuk Ahmad Daud tidak bersetuju syarat itu dipraktikkan kerana baginya paras rupa bukan ‘rukun’ untuk menjadi aktor.

    “Saya lihat industri kita lebih fokus kepada fizikal dengan lelaki harus berwajah jambu atau badan six pack. Heroin pula mesti cantik. Sedangkan bagi saya, itu bukan rukun menjadi aktor.

    “Aktor dituntut menjadi bijak dan cerdik. Contohnya, Eman Manan antara aktor ‘jantan’. Begitu juga Beto Kusyairy dan sekarang, saya lihat potensi Fattah Amin.

    “Saya nampak Fattah semakin matang. Dahulu dia dilabel pelakon ‘kayu’. Tetapi ketika itu, dia mungkin belum matang sebagai aktor.

    Fauziah Datuk Ahmad Daud tidak bersetuju paras rupa jadi syarat untuk menjadi aktor. – Agensi

    “Bagi saya, perkara itu normal dan memang proses perlu dilalui setiap pelakon. Saya dahulu pun pelakon ‘kayu’ ketika membintangi filem Hati Batu,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media pengumuman Teater Dara & Mak Cik Bawang baru-baru ini.

    Fauziah yang lebih dikenali sebagai Ogy meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) 1985/1986 menerusi filem Ali Setan berkata, bakat baharu tidak seharusnya dibiarkan terkapai-kapai menimba ilmu sendiri.

    Sebaliknya, penerbit atau aktor senior perlu saling membantu agar dapat membina keyakinan pelakon baharu.

    “Di luar negara, jika produksi mengambil pelakon baharu dan cipta satu watak untuk sebuah filem epik, mereka mengasah pelakon itu mengikut karakter hingga berjaya.

    “Suasana itu berbeza dengan di negara ini. Mereka campakkan pelakon baharu terkapai-kapai di set penggambaran.

    “Apabila datang pelakon senior, mulalah terketar-ketar lutut mereka. Jika dapat pelakon senior yang memahami dan sudi berlatih sebelum masuk ke set, tidak mengapa.

    “Tetapi bagaimana jika pelakon senior yang tidak beri muka, sebaliknya minta mereka belajar sebelum berlakon, tidakkah itu akan meluntur dan menghancurkan semangat mereka?” katanya.

    Sementara itu, selepas hampir 50 tahun bergelar anak seni, Fauziah yang pernah merangkul trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 1987 mengaku semakin lelah.

    Fauziah teringin menjadi pensyarah seni lakon dan sedang mencari fakulti bersesuaian untuk menyambung pengajian. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...