Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Tampil dengan bentuk yang lebih elegan dan sportif, Nissan Teana baharu telah didedahkan kelmarin oleh pengedar tunggal kenderaan Nissan di negara ini, Boustead Sdn Bhd pada majlis pengenalannya yang berlangsung di Bilik Pameran Nissan, Beribi.
Selain tampak mewah dan memberikan keselesaan maksimal kepada pemandu dan penumpang, model baharu Teana ini didatangkan dengan enjin 2.0XL dan dilengkapi dengan lebih banyak ciri dan fitur yang membuat ramai yang terpesona akan kecanggihannya.
Pada bahagian depannya, V-motion grille memberi paparan gaya tersendiri model tersebut, selain reka bentuk badannya lebih panjang dan tinggi serta dilengkapi dengan salah satu ciri istimewa dan unik iaitu Remote Engine Start yang membolehkan pemandunya menghidupkan enjin kereta dalam jarak lingkungan 200 meter dengan menggunakan Nissan Intelligent Key bagi memanaskan enjin atau menyejukkan kenderaan dengan pendingin hawa sebelum memasuki kereta tersebut.
Dengan adanya kemudahan itu, para pemandu dan penumpang tidak lagi akan berasa tidak selesa dengan keadaan kereta yang panas kerana sinaran pancaran matahari yang menyebabkan kondisi kenderaan menjadi panas.
Selain itu, pengemudian kenderaan berkenaan menjadi lebih selesa dan menenangkan dengan adanya penambahbaikan suspension belakang kenderaan, Toe Angle Control dan Camber Angle Control yang menjadikan perjalanan lebih mantap dan stabil. Manakala, pada bahagian dalamannya model ini turut dilengkapi paparan 4 inci 3D Information Display dan sistem audio BOSE sembilan speaker dengan bunyi berkualiti tinggi.
Kelembutan material tempat duduknya dengan inovasi teknologi Nissan Intelligent Mobility yang menyelitkan Spinal Support Seat di kerusi hadapan dan belakang turut menambah rasa selesa dan mampu mendukung tulang belakang pemandu dan penumpang kenderaan berkenaan.
Untuk menyaksikan lebih dekat lagi Nissan Teana baharu yang didatangkan dengan enam pilihan warna yang menarik seperti DK gray PM, brownish gray TM, black, silver M, red PM dan white 3P bolehlah berkunjung ke bilik pamerannya di Beribi dan Kuala Belait.































