Tampil bergaya dengan trend solekan terbaharu

DUBAI, EMIRIAH ARAB BERSATU – Sementara gaya semasa pandemik melihat orang mengenakan pijama dan rambut bersanggul, tahun 2021 adalah lebih mengenai maskara, gincu dan penggaris bibir – dan jualan mekap di pasaran di Timur Tengah yang bernilai berbilion dolar mula mencatat peningkatan.

Bagi wanita di rantau, dan terutamanya di negara Teluk Arab, mekap atau solekan adalah salah satu perbelanjaan terbesar mereka, menawarkan peluang untuk mengungkapkan pernyataan walaupun bagi mereka yang perlu menutup rambut dan sebahagian wajah mereka dengan tudung hitam.

Selepas mencatat kemelesetan jualan semasa pandemik, penganalisis kini meramalkan pasaran mekap di Timur Tengah akan berkembang sebanyak lima peratus dalam tempoh lima tahun akan dating, walaupun ketika jualan di beberapa kawasan dunia terus menjadi perlahan, seperti di Eropah Barat dan Amerika Utara.

Menggunakan trend tersebut, Dubai – bandar raya mewah yang membentuk sebahagian daripada Emiriah Arab Bersatu – telah menganjur beberapaa cara dan selebriti.

Di antaranya adalah Mario Dedivanovic, artis terkenal kerana melakukan solekan untuk Kim Kardashian, yang menganjur sesi temu bual mengenai masa depan kecantikan pada hujung minggu. Dengan lebih daripada sembilan juta pengikut, Dedivanovic ialah salah seorang artis mekap paling berpengaruh yang ada dalam industri itu sekarang.

Influencer media sosial Gehna Advani dari Delhi, India, mencuba gincu jenama Mario Dedivanovic pada acara di Dubai baru-baru ini. – AP
Artis mekap Mario Dedivanovic bercakap pada satu acara yang diadakan di City Center Mirdif Mall di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. – AP
Wanita menunggu untuk mendengar sesi temu bual kecantikan oleh artis Mario Dedivanovic di City Center Mirdif Mall di Dubai. – AP

Nora Feranecz mencuba mekap jenama Mario Dedivanovic. – AP

Wanita tanpa pelitup muka memakai kasut dan dan membawa beg berjenama serta mengenakan solekan trend terbaharu, berkumpul di Gedung Membeli-Belah Pusat Bandar Mirdif untuk mendengar kepada sesi temu bual beliau. Dedivanovic berkata Dubai setanding dengan pusat kecantikan global lain.

“Dubai adalah sebuah bandar kosmopolitan. Di segenap pelosok dunia, awda tahu, semua orang tahu mengenai Dubai,” beritahu Dedovanovic kepada The Associated Press.

Beliau berkata artis mekap di Dubai ‘sedang melakukan segala-galanya pada kadar yang sama seperti yang dilakukan di Paris dan Milan serta London.’

Industri mekap bernilai AS$4 bilion di Timur Tengah walaupun ketika pandemik, menurut kumpulan penyelidikan pasaran Euromonitor International. Namun pandemik telah menjejas teruk industri berkenaan dengan peningkatan kerja dari rumah dan pembatalan kebanyakan acara sosial seperti majlis perkahwinan. Kehilangan pekerjaan berkaitan pandemik juga bermakna kurang pendapatan boleh guna dan perbelanjaan lebih menumpu pada keperluan hidup.

Di seluruh dunia, industri mekap merosot sebanyak 16 peratus pada tahun 2020, menurut Euromonitor, dengan kemerosotan kurang drastik pada 10 peratus di Timur Tengah.

Amna Abbas, pakar runding untuk kecantikan dan fesyen di Euromonitor, berkata beberapa kawasan di Timur Tengah, termasuk UAE, mempunyai tempoh perintah berkurung atau sekatan yang lebih pendek. Sebaik sahaja pasaran dibuka semula, ‘kami menyaksikan tanda-tanda pemulihan berlaku dengan serta-merta,” kata beliau.

Ketika orang ramai mulai kembali ke pejabat, bergaul lebih dan menghadiri lebih banyak acara, jualan mekap mula meningkat. Euromonitor berkata pertumbuhan jualan mekap harus mencecah enam peratus hingga lapan peratus di Timur Tengah pada tahun ini.

Menurut Abbas, pertumbuhan telah dicatat lebih cepat daripada dijangkakan, meskipun pasaran tidak mungkin pulih semula kepada tahap sebelum pandemik sehingga tahun 2022 atau 2023. Beliau menambah bahawa ‘pemulihan masih berlaku sekarang.”

Membeli-belah secara dalam talian turut menjadi semakin penting dan begitu juga dengan penggunaan media sosial. Selepas 2020, semakin ramai wanita beralih kepada pembelian gincu bibir warna kegemaran mereka atau bedak asas secara dalam talian, ada kalanya dibantu oleh ciri-ciri realiti tambahan di mana mereka boleh melihat penampilan mereka dengan mengenakan warna tertentu.

Sebagai sebahagian daripada kebergantungan yang meningkat pada aktiviti membeli-belah dalam talian, wanita di Teluk mengikuti selebriti, influencer dan jenama mekap di media sosial untuk mengetahui lebih lanjut mengenai trend dan tip kecantikan. Huda Kattan, seorang jutawan kecantikan warga Iraq-Amerika dan berpangkalan di Dubai, telah membangunkan perniagaan berbilion dolar di sini. – AP