Tampil bergaya, menawan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – TCY Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal SsangYong Motor di Negara Brunei Darussalam telah melancarkan SsangYong Rexton 7-Seater Petrol SUV hari ini di bilik pamerannya di Kiarong.

Pada masa yang sama, beberapa media tempatan serta para pengamal media tempatan turut diundang bagi menyertai uji pandu kenderaan berkenaan di sepanjang lebuh raya di sekitar bilik pamerannya di Kiarong, pagi tadi.

Rexton kini tampil lebih gah dengan dilengkapi beberapa ciri terkini dengan reka bentuk yang lebih menarik dan bergaya, selain mempunyai ruangan tempat duduk yang lebih luas dan memberi keselesaan setiap pengemudi dan penumpang kenderaan tersebut.

Keselesaan tempat duduk pada Rexton juga turut menjadi faktor utama keunggulannya apabila sarung tempat duduknya turut dilengkapi dengan hand-made Nappa leather yang menjadikan penumpangnya berasa lebih selesa dan kelihatan lebih mewah.

Rexton dikuasai oleh enjin Petrol G20DTR dan didatangkan dengan Aisin 6-speed automatic transmission, selain direka dengan enjin high-efficient 2 litre GDI turbo petrol bagi memantapkan lagi pemanduan kenderaan tersebut.

Sementara itu, di sisi keselamatan, Rexton turut dilengkapi dengan sembilan beg udara termasuk knee-airbag bagi pemandu bagi menjamin keselamatan pemandu dan penumpangnya.

Selain itu, kenderaan berkenaan turut diberikan pelbagai ciri teknologi terkini yang menarik seperti wide touch screen 8-inci yang boleh disambungkan ke peranti telefon bimbit untuk digunakan sebagai hiburan mahupun digunakan untuk membalas WhatsApp dan sebagainya.

Orang ramai yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Rexton tersebut bolehlah mengunjungi bilik pameran mereka.

Bahagian depan SsangYong Rexton yang lebih bergaya.
Bahagian dalam Rexton yang dilengkapi dengan ciri teknologi terkini seperti wide touch screen 8-inci yang boleh disambungkan ke peranti telefon bimbit untuk digunakan sebagai hiburan.