Tampil karya berjiwa KeBruneian

Oleh Nurdiyanah R.

Setiap karya seni pastinya ada kisah di sebaliknya yang ingin disampaikan oleh perekanya. Ia menyimpulkan suatu makna yang mendalam daripada hasil setiap karya seni itu.

Mungkin sebuah karya itu berinspirasi daripada sebuah sejarah, kebudayaan, kisah silam, kenangan terindah, alam sekitar dan sebagainya.

Itulah hebatnya sesebuah karya hasil rekaan insan-insan berjiwa seni yang secara intrinsik memiliki suatu nilai estetika dan kreativiti tersendiri, yang mungkin saja dapat memukau mata penonton.

Kali ini, wartawan Media Permata berkesempatan menyaksikan pameran karya seni rekaan berkonsepkan nilai-nilai KeBruneian yang dikenali sebagai ‘Contoh’ hasil sentuhan tiga artis tanah air yang menampilkan curahan ilham peribadi mereka.

“Dengan hasrat untuk mengetengahkan betapa pentingnya peranan industri pembuatan, pengimportan dan self-sufficiency dalam kalangan masyarakat Brunei, maka di sinilah artis-artis tempatan kita bersatu mencurahkannya beberapa seni rekaan untuk tatapan orang ramai di negara ini,” ujar Dayang Osvenne Osman selaku kurator dan pengurus Galeri Creative Space dengan penuh harapan semasa ditemui penulis di Galeri Creative Space, Sengkurong baru-baru ini.

Pameran karya seni berkonsepkan nilai-nilai KeBruneian yang dikenali sebagai ‘Contoh’ anjuran Galeri Creative Space, Sengkurong yang dihasilkan oleh tiga artis tanah air penuh kreativiti dengan curahan ilham peribadi mereka.
Awang Faiq mencurahkan karya rekaan yang berjudul ‘Berapa semeter?’ dan ‘Contoh’ yang lebih berkisar dengan suasana kedai jahit dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Salah satu karya rekaan berjudul ‘Titih’ yang dihasilkan oleh Dayang Yasmin telah menggunakan bahan utama daripada tali nilon plastik berwarna kekuningan digantung dan diikat pada hujung bahagiannya seakan-akan menyerupai kawasan ladang padi mengimbas nostalgia perjuangan generasi ibu bapanya dalam mencari sumber rezeki untuk kehidupan sehari-hari suatu ketika dahulu.

Menurutnya lagi, dengan adanya karya seumpamanya dipamerkan ia secara tidak langsung dapat membuka minda serta mendidik masyarakat secara umumnya agar tidak bergantung sepenuhnya dengan penghasilan minyak dan gas.

“Di samping itu, adalah menjadi harapan kami untuk melihat para penggiat seni kreatif di negara ini untuk tampil beraksi dengan mencurahkan hasil karya mereka yang luar biasa dan tidak kurang hebatnya untuk ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan karya-karya seni yang dipaparkan dalam muzium dan galeri seni di luar negara,” ujarnya.

Nostalgia ladang padi

Salah satu karya rekaan berjudul ‘Titih’ yang dihasilkan oleh Dayang Yasmin Jaidin telah menggunakan bahan utama daripada tali nilon plastik berwarna kekuningan digantung dan diikat pada hujung bahagiannya seakan-akan menyerupai kawasan ladang padi.

“Mengimbas kembali sekitar tahun 70an, generasi ibu bapa saya suatu ketika dahulu mengatakan mereka lebih mengutamakan semangat berdikari dalam menyara kehidupan sehari-hari. Mereka selaku masyarakat kampung setempat telah memanfaatkan sumber makanan hasil daripada penanaman padi, sayur-sayuran serta buah-buahan yang mereka usahakan di sekitar sebidang tanah yang mana pada masa ini telah menjadi tapak bangunan Sekolah Menengah Berakas,” jelas Dayang Yasmin ketika mengimbas detik-detik perjuangan ibu bapa beliau dalam memperoleh sumber rezeki untuk menyara kehidupan sehari-hari suatu masa lalu.

Tambahnya, dengan penemuan minyak, ekonomi Brunei mengalami perubahan antara tahun 1960an hingga 1980an di mana secara tidak langsung turut mengubah gaya hidup masyarakat setempat antaranya prinsip hidup berdikari dilihat semakin pudar.

“Oleh itu, dengan adanya karya rekaan ini, saya berharap ia akan dapat menyemai dalam diri setiap pengunjung untuk lebih memahami dan menghargai erti sebuah perjuangan dan pengorbanan masyarakat era 60an hingga 80an yang bertungkus lumus dalam meniti proses-proses pembangunan sehingga sekarang,” ucapnya dengan penuh ketulusan.

Budaya tempahan baju

Karya yang ditampilkan oleh Awang Faiq Airudin pula mengetengahkan 48 penggantung baju (hangers), baju kurung, cara Melayu dan potongan pelbagai warna kain disusun dan digantung pada dinding.

Beliau menjelaskan kebiasaannya apabila seseorang ingin menempah baju kurung mahu pun baju cara Melayu, sebahagian atau hampir semua tukang jahit akan meminta ‘contoh baju’ yang merujuk kepada ukuran tepat baju penempah.

Dari situlah terdetiknya ilham Awang Faiq dalam mencurahkan karya rekaan yang berjudul ‘Berapa semeter?’ dan ‘Contoh’ iaitu lebih berkisar dengan suasana kedai jahit dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Selepas menyaksikan pameran-pameran tersebut, penulis beranggapan pengkarya-pengkarya tempatan seperti mereka dapat membuktikan masing-masing memiliki matlamat tersendiri dalam menghasilkan karya dengan gaya kreativiti dan keunikan yang pastinya mampu menimbulkan suatu ilham atau persepsi dalam kalangan pengunjung.

Apa yang pasti merekalah sebahagian karyawan tempatan yang sememangnya memiliki bakat terpendam dan siapa tahu jika mereka komited dan sentiasa mengasah kebolehan yang ada mereka mungkin akan dapat bersaing bersama pengkarya luar negara. Merekalah generasi belia sebagai pejuang seni yang akan mampu meningkatkan dan mengharumkan industri kreatif tanah air kita dari semasa ke semasa.