Oleh Zulkamal Haji Kamis
SETIAP kali kita terpandang dengan reka bentuk dan infrastruktur kediaman-kediaman di benua Eropah khususnya pada abad ke-18 dan 19, pastinya mata kita akan terpesona dengan sentuhan kreativiti hiasannya.
Justeru, tidak hairanlah, jika sekarang semakin ramai yang mengadaptasikan gaya Inggeris klasik ini sebagai sumber inspirasi dalam mendekorasi kediaman masing-masing.
Akan tetapi, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan kerana para pemilik memerlukan idea yang baik agar kediaman lebih bergaya klasik namun tidak kelihatan kuno, masih mampu bersaing dengan dekorasi rumah moden yang ada sekarang ini.
Berikut, saya kongsikan beberapa panduan agar rumah klasik anda terlihat lebih mewah dan mempesonakan.
Elemen antik
Salah satu elemen asas yang penting untuk mengayakan gaya klasik yang masih boleh diguna pakai atau masih relevan sehingga ke hari ini adalah cermin. Sememangnya meletakkan cermin antik di dalam rumah akan memberi kesan berbeza pada kediaman anda malah mampu menguatkan gaya klasik yang disampaikan.

Dasar dekorasi
Gaya dekorasi klasik sering kali dikaitkan dengan menampilkan elemen-elemen klasik itu sendiri seperti bentuk mahkota, lantai dan peralatan kayu. Skema warna yang cenderung gelap sangat umum dengan meminimumkan aksesori dan perkakas tidak berguna. Warna-warna seperti hijau lembut dan peach mampu seimbangkan suasana alam.
Selain daripada itu, perkara lain yang boleh dilakukan adalah dengan menampilkan pola bunga pada sofa, meja dan tempat tidur pada gaya tradisional.
Bersumberkan alam
Rangkaian pola alam seperti bunga, pepohonan, sungai dan sebagainya boleh digunakan untuk kertas dinding saat mengayakan konsep klasik.
Unsur-unsur bunga sangat umum digunakan untuk dekorasi klasik. Bunga-bunga yang dipilih boleh juga disesuaikan dengan bunga kesukaan anda.
Bagi memberi kesan unik, anda juga boleh menyelitkan pola-pola tersebut pada bantal, permaidani dan kerusi. Namun, harus diingatkan jangan terlalu berlebihan dalam mengaplikasikan pola bunga kerana boleh memberikan kesan yang membosankan.
Aksesori tambahan
Dalam memberikan lagi nuansa yang berbeza dan seolah-olah anda sedang tinggal pada abad pertengahan, penggunaan bingkai lukisan tentang alam atau elemen-elemen lain yang bergaya klasik boleh digunakan.
Malah, anda boleh meletakkan pasu bunga untuk menambahkan lagi sentuhan klasik khususnya di ruang tamu.
Apa yang penting, anda tidak perlu membayar mahal sekiranya anda seorang yang kreatif.
Apa yang wajar, seimbangkan perabot, warna dan sirkulasi udara. Perkara ini penting kerana kediaman klasik berkait erat dengan alam dan kesegaran.