Tampil maskulin, sportif dan canggih

Oleh Rafidah Jumat

Dengan reka bentuk yang menarik, sportif, model terbaharu KIA Seltos ini pasti akan mampu menarik perhatian golongan muda apatah lagi dengan rekaan hud yang panjang, garis badan yang tajam dan rekaan hadapan yang tampak maskulin.

Selaku pengedar rasmi kenderaan jenama KIA, Grand Motor Sdn Bhd bakal melancarkan dua variasi SUV kompak iaitu KIA Seltos yang akan terdapat dalam dua bentuk iaitu Standard dan juga GT Line. Apa yang pasti, mereka yang melihatnya bukan sahaja akan menoleh sekali, malah berkali-kali bagi melihat rekaannya.

Pelancaran kereta ini akan diadakan pada awal bulan Disember 2019 nanti dan sementara menunggu hari pelancarannya itu, penulis bersama pengamal media tempatan yang lain berpeluang untuk melakukan uji pandu kereta Seltos GT Line bagi merasakan sendiri kehebatan kereta itu membelah jalan raya.

Dilengkapi teknologi moden

Pada bahagian depan Seltos kelihatan sangat sofistikated dengan konsep yang bertingkat, daripada bampar hingga lampu utama manakala gril seperti ‘hidung harimau’ yang telah menjadi ‘singnatur KIA’ kini lebih lebar dan juga menonjol.

Di bahagian hadapannya pula diserlahkan dengan sepasang lampu LED sepenuhnya iaitu lampu siang dan lampu kabus LED. Imej sportif dan moden ini turut terserlah menerusi penampilan rim aloi 17 inci dengan tayar 215/55 R17. Sebaik memasuki ruang kabin Seltos, penulis mendapati ia dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci, tombol gear dan tempat duduk balutan kulit dengan fungsi pengudaraan dan penghawa dingin di tempat duduk hadapan.

Kabin dalaman menampilkan rekaan futuristik.
Skrin sentuh lapan inci sistem hiburan pada Kia Seltos.
Reka bentuk sporti Seltos bakal menarik perhatian golongan muda.
Kerusi bahagian belakang boleh dijatuhkan untuk menempatkan lebih muatan.

Ruang kabin ini menampilkan rekaan futuristik dilengkapi penggunaan material berkualiti tinggi dan turut menyediakan pengecas USB sebagai kemudahan mengecas telefon bimbit. Seltos ini juga cukup luas untuk pemandu dan penumpangnya duduk dengan selesa.

Apa yang penulis lihat, Seltos dilengkapi dengan skrin sentuh lapan inci bagi sistem hiburan dan turut dipasangkan dengan pencahayaan mood suara dengan enam tema dan lapan warna yang akan bercahaya di bahagian panel pintu selari dengan rentak muzik.

Dengan pintu belakang yang luas bukaannya, ia memudahkan proses keluar masuk barangan dan untuk lebih muatan, manakala kerusi bahagian belakang boleh dijatuhkan.

Seltos dikuasakan enjin petrol 1.6 liter MPI yang mampu memberikan pecutan sehingga 123 PS melalui transmisi automatik enam kelajuan.

Menelusuri Jalan Jerudong sehingga memecut di lebuh raya, penulis mendapati kestabilan memecut laju SUV dari negara K-Pop ini juga banyak dibantu tiga mod pemanduan iaitu ‘Normal, ‘ Eco’ dan ‘Sport’.

Butang mod eco atau mod ekonomi jika diaktifkan akan mengubah ciri-ciri tertentu kereta secara mekanikal untuk penggunaan bahan api yang paling jimat dan optimum.

Mod sport pula memberikan respons yang pantas bila pedal minyak ditekan sekali gus pecutan kereta akan bertambah namun pada masa sama, roda stereng akan menjadi sedikit keras bagi membantu mengawal stereng dengan lebih baik.

Sementara itu, mod normal menyediakan keseimbangan antara mod eco dan mod sport.

Pada aspek keselamatan, Seltos didatangkan dengan dua beg udara, sistem brek anti-kunci, kawalan kestabilan elektronik dan kawalan bantu menaiki bukit dan kereta ini juga dilengkapi sensor letak kereta belakang dan kamera belakang.