Tampil moden, sportif

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – GHK Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kereta Mitsubishi memperkenalkan Mitsubishi ASX model 2018 versi facelift yang baharu saja memasuki pasaran Brunei.

Sempena pelancaran model terbaharu itu, wakil-wakil media permotoran dijemput untuk menyaksikan dengan lebih dekat penampilan dan fungsi yang ditambah pada SUV tersebut.

Semasa sidang media di Bilik Pameran GHK Motors, Eksekutif Pemasaran, Dayang Mu’izzah binti Haji Khirul Abasah mendedahkan lebih 1 juta unit Mitsubishi ASX yang dihasilkan sejak tahun 2010 telah terbukti sebagai kejayaan global Mitsubishi Motors.

Walaupun ASX MY18 versi facelift tampil dengan wajah sportif dan moden tetapi ia masih berpegang kepada konsep penampilan ‘Dynamic Shield’ yang menampilkan jeriji depan dan bamper dengan jalur berwarna krom sebagai lambang keselamatan tertinggi kepada pemiliknya.

Model terbaharu Mitsubishi ASX yang diperkenalkan oleh GHK Motors Sdn Bhd.
Dayang Mu’izzah dan Au Thien Kiong semasa menerangkan kepada media mengenai Mitsubishi ASX terbaharu.

“Pelanggan kini boleh menikmati Mitsubishi dengan teknologi terkini seperti skrin sentuh dengan pemain CD, soket USB, Bluetooth, Auto Dual A/C, fungsi kawalan audio dari stereng dan punat Auto/Start Engine seperti pada Pajero Sport,” kata Pengurus Besar GHK, Au Thien Kiong.

ASX terbaharu ini dikuasakan enjin petrol 2.0L MIVEC 4-silinder dengan 6-kelajuan transmisi automatik INVECS-III CVT yang direka khas untuk memberikan pengalaman pemanduan yang hebat.

Apa yang menarik pada ASX kali ini ialah sistem dua beg udara termasuk beg udara bagi lutut pemandu, sistem pengesan titik buta, sensor hujan, sistem anti kekunci brek (ABS), Electronic Brake Force Distribution (EBD), kamera undur serta sensor dan yang paling penting struktur badannya direka dengan Reinforced Impact Safety Evolution (RISE).