Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 19 April – Awang Abdul Zainidi, salah seorang pengarah filem tempatan yang berjaya mencipta nama di beberapa festival filem antarabangsa, sekali lagi mewakili negara dengan ‘More Vanishing Children’ arahannya di Festival Filem Cannes pada Mei nanti.
Ketika ditemu bual, Awang Abdul Zainidi pada masa ini masih sibuk menyiapkan filem terbarunya ‘Vanishing Children 3’ yang dijangka siap penghujung April ini dan menyambung membuat filem susulan ‘Anggur in Pockland’ iaitu ‘Pockworld’ yang juga akan siap Mei ini.
Beliau berharap filem ‘More Vanishing Children’ berkenaan akan dapat menerima sambutan dan pujian terbaik daripada pengarah-pengarah filem antarabangsa sekali gus dapat meningkatkan prestasinya sebagai pengarah filem Negara.
Menurutnya, filem berkenaan merupakan kesinambungan daripada filem ‘Vanishing Children’ yang pertama kali pernah disiarkan dan ditayangkan di Festival Filem Cannes pada tahun lepas. Namun kali ini, filem tersebut memaparkan filem berbentuk seram dan juga mempromosikan cerita-cerita seram di negara ini ke negara luar.
Awang Abdul Zainidi menjelaskan lagi, kali ini beliau yakin dan tidak takut untuk menayangkan filem tersebut ke festival berkenaan memandangkan beliau telah mempunyai pengalaman yang luas dan pernah mengikuti bengkel serta latihan di Akademi Filem Asia, Busan, baru-baru ini.

Selain itu, semangat untuk menjadi pengarah filem semakin menjadi-jadi setelah beliau tidak putus-putus menerima tawaran dan filem beliau menjadi pencalonan dalam Festival Filem Antarabangsa Asia di Tokyo, Festival Filem Nimman di Chiang Mai Thailand dan pernah mewakili Brunei untuk SEA Shorts di Kuala Lumpur.
Dengan penuh harapan dan semangat tinggi, beliau menasihati belia-belia yang ingin menjadi pengarah filem supaya perlu mempunyai mental yang kuat dan mempunyai sikap semangat atau keghairahan dan sentiasa ‘ingin melakukan sesuatu’ untuk seni.
Mereka perlulah bekerja keras untuk menghasilkan sesuatu filem yang terbaik, tambahnya.
Beliau berharap melalui festival filem berkenaan, beliau akan dapat membawa imej negara ke antarabangsa melalui hasil seni perfileman. Selain menampilkan hasil usaha sendiri, ia juga akan dapat memberikan pengalaman yang berharga kepada beliau sendiri dan pelakon-pelakon yang menjayakannya.