Tampin destinasi percutian ekopelancongan dan sukan lasak

TAMPIN – Daerah Tampin, yang bersempadan dengan negeri Melaka mungkin tidak sepopular destinasi pelancongan di Port Dickson, yang terkenal dengan pantai peranginan.

Namun daerah ini sebenarnya ada kehebatannya yang tersendiri seperti pelbagai tempat menarik bagi peminat sukan lasak dan ekopelancongan. Terletak kira-kira 46 kilometer dari bandar Seremban dan 44km dari Melaka, daerah ini mempunyai dua buah tempat menarik bagi peminat sukan lasak iaitu Tampin Extreme Park dan kawasan riadah serta mandi-manda iaitu Tampin Water Park. Malahan, kedua-dua kawasan berkenaan terletak berhampiran Gunung Tampin, yang sering menjadi tumpuan para pendaki baik dalam mahupun luar negara.

Pengurus Operasi Tampin Extreme Park, Muhammad Uzair Abdul Malek berkata pengunjung yang meminati sukan lasak boleh mencuba pelbagai aktiviti yang diadakan di sana seperti rock climbing, abseiling, flying fox, wall climbing dan tree climbing.

“Di Semenanjung Malaysia, Tampin Extreme Park antara tempat rock climbing yang menjadi perhatian pengunjung dan ia dilakukan pada batu granit. Aktiviti di sini pasti memberi keseronokan kepada peminat sukan rock climbing serta memberi pengalaman baharu kepada pengunjung yang ingin melakukan aktiviti yang mencabar meskipun ketinggian untuk aktiviti rock climbing ini kira-kira 25 meter sahaja.

“Selain melakukan pelbagai aktiviti lasak di kawasan ini yang berkeluasan 0.81 hektar, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti jungle trekking dan waterfall  abseiling memandangkan ia berhampiran dengan hutan simpan Gunung Tampin,” katanya kepada media.

‘Wall climbing’ antara aktiviti sukan lasak yang terdapat di Tampin Extreme Park. – Bernama
‘Rock climbing’ pada batu granit dengan ketinggian hanya sekadar 25 Meter sahaja antara aktiviti sukan lasak yang terdapat di Tampin Extreme Park. – Bernama
Pengunjung yang datang ke Tampin Extreme Park, bolehlah mencuba ‘Flying fox’ yang terdapat di sana. – Bernama

Tambahnya, aktiviti waterfall abseiling adalah aktiviti yang paling menarik dan perlu dicuba oleh pengunjung.

“Melalui aktiviti waterfall abseiling, pengunjung boleh menikmati cabaran mendaki di kawasan air terjun serta melihat pemandangan keindahan flora fauna yang menarik,” katanya.

Kadar bayaran masuk adalah berpatutan dan pada tahun lepas ia mencatatkan 2,729 pengunjung, katanya. Dalam pada itu, Muhammad Uzair juga berhasrat untuk menjadikan Tampin sebagai hab sukan ‘rock climbing’ di negeri ini.

Sebaik sahaja melakukan aktiviti lasak di Tampin Extreme Park, pengunjung boleh bersantai dan  beriadah di Tampin Water Park yang terletak kira-kira 3.8 km dari kawasan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tampin Water Park, Nasir Rahim berkata, kawasan yang mempunyai empat buah kolam itu sesuai untuk pengunjung yang ingin melakukan aktiviti beriadah dan bermandi-manda.

“Empat kolam yang ada di sini mempunyai kedalaman yang berbeza iaitu bermula dari satu kaki hingga tujuh kaki. Istimewanya kesemua kolam berkenaan ialah ia menggunakan air bukit, yang telah dirawat dan selamat untuk aktiviti mandi-manda.

“Selain mandi-manda, pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti jungle trekking, memanah, paintball mengikut pakej-pakej yang disediakan,” katanya sambil menambah kawasan berkenaan sesuai untuk aktiviti keluarga dan percutian selepas Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan di Malaysia. – Bernama