Tampung kelangsungan hidup dengan jualan jeruk mangga

BACHOK – Seorang suri rumah memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas dengan menjual jeruk mangga bagi menampung perbelanjaan anak tunggalnya yang terlantar akibat menderita penyakit paru-paru kronik.

Norhayati Abdullah, 26, berkata dia terdetik untuk menjalankan perniagaan makanan ringan berkenaan untuk membantu suaminya Mohd Saiful Azrin Hazmi, 28, yang hanya bekerja sebagai buruh, mencari pendapatan tambahan.

“Sebelum tempoh pelaksanaan PKP, kami tiga beranak bergantung harap dengan pendapatan suami  sebanyak RM350 seminggu, namun sejak perintah ini dilaksanakan kami kesempitan hidup disebabkan suami tidak dapat keluar bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pauh Sembilan.

Norhayati berkata anak tunggalnya Nur Amni Fatini Mohd Saiful Azrin, 4, disahkan menghidap penyakit paru-paru ketika berusia dua tahun selepas sering kali mengalami demam yang berpanjangan.

“Anak saya mengalami komplikasi kekurangan oksigen ke otaknya sejak lahir dan disebabkan itu hampir tiga bulan dia terpaksa berulang-alik ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Nor Hayati berkata, Nur Amni Fatini terlantar sepanjang hari itu tidak boleh berjalan dan bercakap seperti kanak-kanak lain seusianya dan hanya bergantung sepenuhnya kepada susu khas yang diberikan melalui tiub yang dipasang pada bahagian perutnya.

Beliau berkata Nur Amni Fatini diberikan susu enam kali sehari dan susu berkenaan yang berharga RM150 setin hanya mampu bertahan bagi tempoh seminggu.

Nor Hayati berkata beliau menjual jeruk dengan harga RM10 sebekas dan hasilnya mampu menampung kekurangan perbelanjaan  mereka sekeluarga sekali gus membeli keperluan Nur Amni Fatini.

Ditanya bekalan mangga untuk dibuat jeruk, Nor Hayati berkata ia dibeli daripada penduduk di sekitar kawasan Bachok dengan harga RM2 sekilogram. – Bernama

Norhayati Abdullah menjalankan perniagaan jeruk mangga ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menampung perbelanjaan anak tunggalnya Nur Amni Fatini. – Bernama