Tamu Bahasa ke-3 diadakan secara maya

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Sempena Sambutan Bulan Bahasa 2021, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan siri ketiga Program Tamu Bahasa (Forum Bahasa) secara dalam talian, hari ini.

Tamu Bahasa merupakan salah satu program pemartabatan Bahasa Melayu di bawah payung Bulan Bahasa yang dijalankan sepanjang 2021 sempena Sambutan Bulan Bahasa dan disebabkan situasi pandemik COVID-19 ketika ini, sebahagian kegiatan telah diubah suai mengikut norma baharu yang disesuaikan dengan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan.

Menurut kenyataan DBP, objektif Tamu Bahasa adalah untuk meningkatkan penglibatan belia dari usia muda lagi dalam menghasilkan karya sastera dalam Bahasa Melayu yang berkualiti dan dapat diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara.

Selain itu, untuk membincangkan isu-isu semasa yang bukan hanya tertumpu kepada pemantapan penggunaan Bahasa Melayu, istilah-istilah baharu, dan tulisan Jawi, tetapi juga turut mempelopori perbincangan dalam pelbagai disiplin ilmu semasa, iaitu sains, teknologi, ideologi, kebudayaan, dan ranah ilmu lain yang bersinergi mendukung usaha pengembangan dan pemartabatan Bahasa Melayu.

Forum juga diharap menimbulkan rasa kecintaan dan semangat patriotisme terutamanya para belia terhadap Bahasa Melayu dan meningkatkan kesedaran dan kefahaman semua lapisan masyarakat bahawa Bahasa Melayu merupakan identiti bangsa Melayu yang tidak boleh dikesampingkan kepentingannya.

Awangku Mohd Noor Sham @ Awangku Hidie dan Dayang Lenna Norsusilanita tampil selaku ahli panel semasa forum berkenaan. – Gambar serahan DBP

‘Penguasaan Bahasa Melayu Mengindahkan Karya Sastera’ adalah tajuk bagi forum bahasa kali ini dengan ahli-ahli panel terdiri daripada Awangku Mohd Noor Sham @ Awangku Hidie bin Pengiran Hidup (Panji Lara) yang merupakan johan Sayembara Penulisan Kreatif Mastera dan Dayang Lenna Norsusilanita binti Bahari (Atin Aswana) yang merupakan aktivis seni sastera tanah air.

Sementara moderator forum ialah mahasiswa Doktor Falsafah (Ph.D) Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Abdul Wafi bin Haji Abdul Rahman.

Seramai 122 orang menyertai forum berkenaan melalui aplikasi Zoom dan 11 lagi menerusi Facebook DBP.

Forum bahasa kali ini antaranya membincangkan mengenai penguasaan Bahasa Melayu yang meluas dalam bentuk penulisan karya sastera akan dapat menyerlahkan kreativiti berbahasa dan berkarya, seperti penggunaan ayat yang mempunyai rasa, irama, susunan yang menarik, dan keharmonian berbahasa agar para penikmat karya dapat menjiwai karya tersebut dan perlu mengatur beberapa strategi untuk mengisi kekosongan dalam diri belia agar dapat menyuntik semangat cintakan Bahasa Melayu.

Ahli-ahli panel juga membincangkan mengenai penghasilan karya sastera yang bermutu bukan sahaja dari segi teknik penulisan, bahkan merakyat iaitu karyanya ditanggapi atau diterima oleh semua lapisan masyarakat lokal dan juga global.