Tamu Bahasa martabatkan Bahasa Melayu

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan DBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Dengan hasrat untuk menimbulkan rasa kecintaan dan semangat patriotisme terhadap Bahasa Melayu bagi segenap lapisan masyarakat dengan objektif penyebarluasan berskala besar menggunakan platform digital, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan Tamu Bahasa (Forum Bahasa) secara dalam talian, kelmarin.

Dengan tajuk ‘Bahasa Melayu dalam Alam Melayu’, Tamu Bahasa itu mengetengahkan ahli panel yang terdiri daripada ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim dan penyelidik bahasa dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Muhammad Najib bin Noorashid.

Tamu Bahasa merupakan salah satu program pemartabatan Bahasa Melayu di bawah payung Bulan Bahasa yang dijalankan sepanjang 2021 de-ngan Majlis Sambutan Bulan Bahasa diadakan pada 5 Julai lalu, DBP telah merangka pelbagai kegiatan untuk
menyemarakkannya.

Memandangkan situasi pandemik COVID-19 pada masa ini, sebahagian kegiatan telah diubahsuai mengikut norma baharu yang disesuaikan dengan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan.

Forum itu bermatlamat untuk membincangkan isu-isu semasa yang bukan hanya tertumpu kepada pemantapan penggunaan Bahasa Melayu, istilah-istilah baharu dan tulisan Jawi, tetapi juga mempelopori perbincangan dalam pelbagai disiplin ilmu semasa iaitu sains, teknologi, ideologi, kebudayaan, dan ranah ilmu lain yang bersinergi mendukung usaha pengembangan dan pemartabatan Bahasa Melayu.

Ia juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman semua lapisan masyarakat bahawa Bahasa Melayu merupakan identiti bangsa Melayu yang tidak boleh dikesampingkan kepentingannya.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani ketika menyampaikan pembentangannya semasa Tamu Bahasa yang diadakan secara dalam talian pada 7 Oktober lalu.
Dr Muhammad Najib menyampaikan pembentangannya semasa Tamu Bahasa berkenaan.