Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MEI – Seramai 95 orang pelayar (melalui aplikasi Zoom dan Facebook) telah mengikuti penstriman langsung Tamu Bahasa dengan tajuk ‘Perbandingan Kognat Bersama dalam Dialek Melayu Patani dan Dialek Melayu Teluk Brunei Ragam Sinaut’, hari ini.
Majlis bermula pukul 9:30 pagi dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei (DPB), Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.
Pembentangan mengenai tajuk berkenaan telah disampaikan oleh Profesor Dr Ruslan Uthai sebagai pembicara eksekutif.
Antara objektif Tamu Bahasa berkenaan ialah mendapatkan sokongan dan penglibatan pelbagai pihak untuk menyebarluaskan pengetahuan dan memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
Di samping itu, ia juga membincangkan isu-isu semasa berkaitan bahasa Melayu untuk memantapkan penggunaannya, istilah-istilah baharu dan tulisan Jawi yang menjadi ciri identiti bahasa Melayu.
Ia juga diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman semua lapisan masyarakat bahawa bahasa Melayu sebagai identiti bangsa Melayu.
Antara inti pati yang dibincangkan oleh pemakalah memperlihatkan hasil kajian perbandingan kognat bersama dalam dialek Melayu Patani dan dialek Melayu Teluk Brunei Ragam Sinaut, iaitu dari aspek fonologi dan semantik.
Menurut pemakalah, semantik dan bentuk kognat bersama dalam dua dialek tersebut menunjukkan ada persamaan dan perbezaannya. Manakala dari aspek fonologi, terdapat perbezaan yang amat ketara.
Berdasarkan hasil kajian itu, dapat dirumuskan bahawa kognat yang merupakan kata turunan daripada bahasa Melayu Purba dalam dialek Melayu Patani mengalami banyak perubahan, terutamanya dari aspek fonologi, jika dibandingkan dengan kognat bersama dalam dialek Melayu Teluk Brunei Ragam Sinaut.
Faktor utama yang menjadi penyebab perkara itu berlaku ialah pengaruh daripada bahasa-bahasa persekitaran dialek Melayu Patani yang kebanyakannya bukan bahasa serumpun, tambah para pemakalah.
Menurut DBP, bulan Julai ditetapkan sebagai Bulan Bahasa dan pelbagai kegiatan yang berkaitan dengan kebahasaan diadakan yang dianjurkannya.
Sehubungan itu, DBP melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa mengambil inisiatif sempena Bulan Bahasa ini mengadakan pelbagai kegiatan sama ada bidang bahasa ataupun sastera, antaranya ialah Tamu Bahasa.
Majlis tersebut dihadiri oleh rakan-rakan strategik DBP, pegawai-pegawai kanan kerajaan, dan para pencinta bahasa, sastera, dan budaya dari dalam dan luar negara.