Tamu hujung bulan jana ekonomi penduduk kampung

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Dengan hasrat untuk menjana dan meningkatkan ekonomi penduduk menerusi kegiatan perekonomian seperti berjaja, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kapok dan MPK Rancangan Perumahan Negara (RPN) Meragang, mengadakan Tamu Hujung Bulan Meragang di Pantai Meragang, hari ini.

Hadir menyempurnakan perasmian tamu itu ialah Penasihat MPK Kapok, Haji Marali bin Haji Ahmad.

Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung Kapok, Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Timbang serta penduduk Kampung Kapok dan RPN Meragang.

Dalam temu bual ringkas bersama pihak media, Pengiran Haji Ibrahim menerangkan bahawa penganjuran tamu hujung bulan itu adalah untuk mengimbau kembali nostalgia orang kampung dahulu iaitu kira-kira 30 tahun yang lalu, yang berkumpul untuk
berniaga di kawasan pantai sambil merambat dan memukat ikan di pantai.

Menurutnya, tamu tidak akan dibuka setiap hari tetapi hanya pada hari kelepasan am, Jumaat dan Ahad serta pada hujung bulan sahaja yang mana para peniaga terdiri daripada penduduk kedua-dua kawasan itu.

Sementara itu, bagi memastikan kebersihan kawasan berniaga di Pantai Meragang berkenaan, pihaknya akan mengadakan kempen kebersihan setiap bulan secara bergotong-royong bersama penduduk kampung.

Inisiatif berkenaan, tambahnya lagi, selain daripada memberikan peluang kepada penduduk kampung untuk mengetengahkan produk jualan masing-masing termasuk produk pertanian, adalah juga dihasratkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam
kalangan penduduk kampung.

Haji Marali diberikan penerangan oleh Pengiran Haji Ibrahim dan menyaksikan barangan yang dijual oleh peniaga-peniaga semasa Tamu Hujung Bulan di Pantai Meragang, kelmarin.