BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Pasar setempat adalah ruang penting dari segi kebudayaan, yang mengeratkan lagi hubungan penduduk, serta menghimpunkan pelbagai spesies tumbuhan tempatan, menurut satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Ethnobiology and Ethnomedicine, baru-baru ini.
Spesies-spesies tumbuhan semakin hilang pada kadar yang membimbangkan. Sementara ini satu tragedi masa kini, satu lagi situasi yang lebih mengejutkan adalah manusia tidak dapat mengecam spesies tumbuhan yang terdapat di persekitaran.
Saintis-saintis merujuk keadaan ini sebagai Plant Blindness, yang dipercayai menjadi petanda kehilangan spesies yang kurang dihargai.
Manusia mempunyai kecenderungan semula jadi untuk menyedari kehilangan spesies berkarisma seperti singa dan harimau dari persekitaran.
“Bagaimanapun, kita tidak menghargai tanaman-tanaman di persekitaran kita, tidak berusaha untuk mengetahui identiti dan kepentingannya kepada budaya dan ekologi tempatan,” menurut kajian berkenaan.

Satu pasukan di Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menemu bual pengunjung-pengunjung Tamu Kianggeh di ibu negara pada 2018 dan mendapati bahawa pengunjung ke tamu itu mencari kepelbagaian dalam jenis buah-buahan dan sayur tempatan.
Pasukan berkenaan merekodkan 104 jenis buah-buahan dan sayuran berlainan dari Tamu Kianggeh, termasuk 26 spesies yang berasal di Borneo dan dua endemik yang hanya boleh ditemui di Borneo.
Pasukan penyelidik berkenaan, yang merangkumi Dr Merlin Franco dari Institut Penyelidikan Asia, Dr Li Ling dari Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan pelajar-pelajar lepas ijazah, Dayang Nurzahidah dan Dayang Siti Noraqilah, berkata bahawa pasar-pasar setempat seperti Tamu Kianggeh membantu mengurangkan Plant
Blindness.
Menurut mereka, membuat orang berminat terhadap spesies tanaman tempatan yang boleh dimakan adalah langkah pertama untuk menarik orang ramai ke arah tanaman tempatan dan budaya tanaman.
Para penyelidik juga menambah bahawa penggubal dasar patut mempertimbangkan pasar-pasar setempat sebagai platform bagi menjalankan aktiviti-aktiviti seperti pameran yang mengetengahkan nilai-nilai ekonomi, budaya dan pemuliharaan tanaman.




























