Saturday, January 18, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tan perkenal sel solar organik

    KUCHING, 20 Jun – Selepas berjaya bertanding di peringkat akhir kebangsaan bagi pertandingan ‘Present Around The World’ (PATW), pelajar kejuruteraan mekanikal dari Swinburne Sarawak Christopher Tan Aik Wei akan bersaing pada pertandingan akhir rantau Asia Pasifik di Singapura pada Ogos ini.

    Menurut kenyataan media baru-baru ini, PATW adalah pertandingan global untuk golongan profesional muda dan pelajar berumur 18 tahun hingga 30 tahun dalam bidang kejuruteraan untuk membangun dan menunjukkan kemahiran pembentangan mereka.

    Pertandingan itu memerlukan peserta membuat pembentangan selama 10 minit mengenai sebarang perkara berkaitan kejuruteraan atau teknologi dengan matlamat meningkatkan dan membangunkan kemahiran mereka dan meningkatkan profil mereka.

    Pada kejohanan akhir peringkat kebangsaan yang diadakan di Lakside Campus, Universiti Taylor di Kuala Lumpur, Tan, 23 tahun, mengagumkan panel hakim dengan pembentangannya mengenai ‘Sel Solar Organik.’

    Tan bercakap mengenai potensi teknologi yang dapat menjana sumber tenaga hijau dan lestari serta membuat perbandingan dengan sel solar lain. Oleh sebab teknologi ini belum lagi diketahui ramai di Malaysia, pembentangan Tan bertujuan untuk memperkenalkan sel organik kepada audiens bukan teknikal, menggalakkan penyelidikan seumpamanya di negara itu selain menjelaskan projek penyelidikannya bagi tahun akhir mengenai topik yang sama.

    Tan ketika bertanding pada peringkat akhir kebangsaan bagi pertandingan ‘Present Around The World’, baru-baru ini.

    Penyertaan Tan dalam pertandingan akhir serantau dianggap sebagai peluang untuk menebus diri kerana beliau telah gagal untuk menang pada kejohanan akhir kebangsaan pada tahun lalu. “Saya bersyukur kerana menang persaingan ini pada cabaran kedua. Saya rasa bahagian paling mencabar tentangan pertandingan ini ialah sesi soal jawab.

    “Maka itu, selepas menempuhi pengalaman ini, saya berharap untuk lebih bersedia bagi sesi soal jawab pada pertandingan akhir akan datang,” kata Tan yang ingin menyertai kejohanan akhir global di London.

    Meskipun dia mendapati sukar untuk menyeimbangkan usaha bagi menyiapkan projek penyelidikan tahun akhirnya dengan latihan bagi PATW, dia percaya persiapan awal adalah kunci kejayaan.

    Sementara itu, Tan berterima kasih kepada Swinburne Sarawak dan institusi kejuruteraan dan teknologi kerana memberi peluang kepadanya untuk mempamerkan kemahiran pembentangan khususnya Pensyarah Kanan dari Fakulti Pengajian Asas Christina Yin yang membantunya berlatih dan bersiap sedia bagi pertandingan itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda