Tanah: 13 maut, seorang hilang

OAXACA, Mexico, 18 Julai – Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan seorang dilaporkan hilang selepas keganasan tercetus antara dua kumpulan komuniti di Oaxaca, selatan Mexico, kata pendakwa tempatan.

Menurut kenyataan pendakwa tempatan, keganasan kelmarin di daerah Yautepec itu tercetus apabila anggota sebuah persatuan tanah kauman ‘diserang’ oleh ahli sebuah lagi kumpulan. Sementara itu, menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan, dua yang terbunuh dan seorang cedera adalah wanita.

Berpuluh-puluh pegawai polis turut dikerahkan ke kawasan kejadian. Dua kumpulan komuniti yang terlibat dalam pertelingkahan tersebut ialah Santa Maria Ecatepec dan San Lucas Ixcotepec.

Pertelingkahan kedua-dua komuniti telah berlarutan sejak 1976 kerana berebut tanah seluas 3,600 hektar.

Oaxaca, satu daripada negeri paling miskin di Mexico dan sering berlaku pertikaian berkaitan tanah. – Bernama