Thursday, December 5, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanah Akhirku erti perpaduan buat Lim Mei Fen

    Oleh Soon Li Wei

     

    KUALA LUMPUR – Bagi Lim Mei Fen, melakonkan watak seorang gadis dari China yang berhijrah ke Malaya pada abad ke-19 untuk satu persembahan teater begitu sebati dengan jiwanya.

    “Saya tidak pernah berhenti percaya bahawa semua bangsa di Tanah Nanyang (gelaran yang diberikan pendatang dari China untuk Malaya dan negara Asia Tenggara yang lain) boleh hidup harmoni. Di sini tanah air saya, tanah air kamu semua,” kata beliau.

    Dengan kostum tradisional opera Cina, Lim begitu bersemangat melakonkan watak Yue Feng untuk persembahan teater bertajuk Tanah Akhirku. Setiap dialog yang disampaikan menyentuh perasaan mereka yang menyaksikan persembahan yang berlangsung di Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

    Kesungguhan Lim, 31, menjiwai watak utama iaitu gadis dari Tanah Besar China yang merantau ke Tanah Melayu itu, membuatkan para penonton begitu kagum dan teruja menyaksikan  persembahan Penilaian Akhir Tahun 2018 (PeTa 2018). Menurut Lim, beliau turut bertanggungjawab menjadi pengolah cerita asal yang berkisarkan tentang penghijrahan awal masyarakat Cina ke Tanah Melayu ketika zaman penjajahan British.

    Jelas beliau, naskhah yang terhasil bersama-sama dengan Xavier Fong dan penulis skrip, Siti Jasmina Ibrahim itu adalah sebahagian daripada kisah hidupnya yang menuntut di Aswara yang turut berlatarbelakangkan masyarakat berbilang kaum. “Sudah lama saya memendam hasrat untuk menyampaikan mesej keharmonian pelbagai kaum di negara ini iaitu sejak saya diterima masuk ke Aswara untuk mempelajari seni lakonan.”

    Pengarah teater Ashraf Zainul (tujuh,kanan) bergambar bersama para pelakon selepas pementasan teater Tanah Akhirku di Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) baru-baru ini. – Bernama

    “Persekitaran majmuk yang ada di kampus Aswara mengajar saya erti perpaduan. Semua pelajar berbilang kaum dapat hidup secara harmoni yang mana ia sudah jarang kelihatan pada masyarakat zaman sekarang,” katanya kepada Bernama.

    Perspektif sejarah

    Tanah Akhirku mengisahkan perjalanan hidup Yue Feng, seorang gadis yang berhijrah ke Tanah Melayu akibat perang saudara di China bersama adik lelakinya, Da Hai untuk memulakan hidup baru. Mereka kemudiannya bekerja di lombong bijih timah yang dikuasai kumpulan kongsi gelap. Berlaku pergolakan antara pembesar istana, pihak British dan pengusaha lombong itu.

    Meskipun berlaku pertelingkahan, Yue Feng sudah semakin jatuh cinta dengan Tanah Melayu yang digelar ‘Nanyang’ di kalangan pendatang Cina ketika itu dan bertekad mahu bertapak di tanah tempat beliau berpijak yang dianggap sebagai tanah airnya.

    Pada masa sama juga, Yue Feng jatuh cinta dengan seorang pembesar Melayu, Tengku Purnama. “Oleh kerana teater ini berkisarkan masyarakat zaman 1880-an iaitu ketika penjajahan British serta kedatangan pendatang Cina dan India secara besar-besaran untuk bekerja di lombong bijih timah dan sektor peladangan, jadi kajian sejarah perlu dilakukan secara teliti terutamanya dari segi bahasa, pakaian, hiasan pentas serta gerak-geri.”

    “Bagi memastikan penulisan skrip serta lakonan dapat memberikan penonton merasai suasana sebenar zaman itu, kami  melakukan pelbagai kajian sejarah termasuk mendapat khidmat nasihat daripada pakar sejarah, rujukan perpustakaan serta menonton filem serta drama yang berkisarkan latar belakang yang sama,” katanya.

    Kata Lim, meskipun mengambil latar masa sekitar tahun 1880-an, isu yang yang ditampilkan dalam Tanah Akhirku sebenarnya sangat dekat dan relevan dengan keadaan semasa masyarakat kini. “Apa yang kami cuba sampaikan ialah, kita sebagai rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama mampu hidup secara harmoni dan tiada diskriminasi antara satu sama lain,” katanya.

    Semangat perpaduan di Aswara

    Meskipun Lim pelajar tunggal Cina di Fakulti Teater, beliau tidak berasa terpinggir malah turut berasa ‘disayangi’ oleh rakan sekelasnya yang kebanyakannya pelajar Melayu. “Meskipun di kalangan rakan sekelas, saya adalah pelajar ‘tertua’ namun saya tidak berasa sedemikian kerana saya berasa ‘muda’ bila bersama-sama dengan mereka.

    “Mereka tahu saya kurang fasih berbahasa Melayu dan agak pelat dalam pertuturan, jadi mereka sangat membantu saya mengukuhkan sebutan saya dan membaiki tatabahasa terutamanya dalam tugasan kumpulan,” katanya sambil ketawa. Bak kata pepatah: Tak kenal maka tak cinta, persekitaran majmuk yang harmoni menyebabkan Lim semakin jatuh cinta terhadap tempat beliau menuntut ilmu itu.

    “Dahulunya, saya tidakfasih berbahasa Melayu menyebabkan saya tidak mahu bergaul dengan rakan-rakan berbangsa lain namun perspektif saya berubah setelah menuntut di Aswara. Kehidupan kampus, selain membantu saya menguasai bahasa Melayu, saya turut belajar berpuasa melalui rakan sebilik ketika  bulan Ramadan dan  makan menggunakan tangan. Pengalaman itu sangat unik dan menyeronokkan.

    “Apabila kita bergaul dengan rakan berbangsa lain, kita bukan sahaja mempelajari bahasa mereka malah budaya dan agama juga selain dapat mewujudkan rasa saling hormat-menghormati,” katanya. Justeru, terlintas di hati Lim untuk mengabdikan kisah kehidupannya ketika menuntut di Aswara dengan menghasilkan naskah Tanah Akhirku.

    ATAS & BAWAH: Dengan kostum tradisional opera Cina Lim begitu bersemangat melakonkan watak Yue Feng dengan menjiwai watak utama iaitu gadis dari Tanah Besar China yang merantau ke Tanah Melayu ketika persembahan bagi Penilaian Akhir Tahun 2018 (PeTa 2018). – Bernama

    “Ia agak mencabar bagi saya untuk menghasilkan naskah ini kerana ia diceritakan dari sudut pandangan saya sendiri mengenai erti perpaduan dan pengalaman saya semasa menuntut di Aswara. Namun, saya sangat bersyukur kerana hasrat saya untuk menghasilkan sendiri sebuah pementasan teater yang tidak mempunyai diskriminasi kaum dan harmoni tercapai menerusi naskah ini,” katanya.

    Sama seperti perjalanan Puteri Hang Li Po dari China ke Tanah Melayu , Lim menganggap pengalamannya menuntut di Aswara sama seperti watak tersebut yang masih melekat di jiwanya sejak teater Takhta 3 Ratu.

    “Puteri Hang Li Po pada mulanya tak boleh berbahasa Melayu namun akhirnya bertapak di Tanah Melayu dan berjaya menyesuaikan dirinya dengan masyarakat dan persekitarannya,  perjalanan itu sama seperti saya.” katanya.

    Bakal ke Istana Budaya

    Meskipun pementasan Tanah Akhirku pada awalnya hanya bagi melengkapkan PeTa 2018, Mei Fen tidak menyangka hasilnya sangat membanggakan apabila mendapat ‘lampu hijau’ untuk dipentaskan di Istana Budaya pada bulan September nanti.

    “Saya sangat terharu kerana tidak menyangka Abang Jo (Datuk Mohamed Juhari) sendiri menawarkan untuk dipentaskan di Istana Budaya. Ini adalah satu pengiktirafan bermakna buat saya dan seluruh produksi teater itu.”

    “Teater itu bakal diangkat menjadi salah sebuah pementasan sempena kemerdekaan dan diharapkan mesej perpaduan kami akan disampaikan secara lebih meluas,” katanya. Menurut pengarah teater Tanah Akhirku, Ashraf Zainul, 32, buat pertama kalinya beliau diberi peluang untuk menggalas tanggungjawab pengarahan teater berbilang bahasa dan kaum itu yang dianggap sangat unik tetapi mencabar.

    “Beberapa babak yang memerlukan para pelakon perlu bertutur dalam bahasa Mandarin menyebabkan saya agak keliru pada peringkat permulaan kerana tidak faham, namun ia tidak menghalang saya untuk melakukan pengarahan dari segi gerak-geri serta bahasa badan itu.

    “Lagipun, dengan bantuan Lim serta para pelakon Cina, saya turut boleh mempelajari bahasa Mandarin dan budaya Cina dengan lebih mudah,” katanya.

    Ashraf, yang juga pelakon teater sambilan turut mengakui naskah yang berlatarbelakangkan berbilang bangsa seperti ‘Tanah Akhirku’ amat jarang dipentaskan menyebabkan masyarakat kurang terdedah terhadap erti perpaduan dan keharmonian.

    “Cerita ini mengangkat tentang perjalanan kita sebagai satu masyarakat, menolak tepi segala perbezaan, dan merungkai sedikit isu yang dicedok dari sejarah.

    “Isu perkauman sering disalahertikan dan dijadikan punca perbalahan kerana masyarakat tidak faham akan budaya antara satu sama lain.

    “Oleh itu, teater ini diharapkan dapat menyampaikan kesedaran saling hormat-menghormati dan keharmonian tanpa mengira kaum dan agama,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda