Tanah liat sebagai makanan snek istimewa

Sukar membayangkan tanah liat boleh menjadi makanan istimewa atau pun sejenis pencuci mulut.

Namun ia bukan sesuatu yang ganjil di bandar Lap Thach, Daerah Lap Thach di utara wilayah Vinh Phuc.

Meskipun belia hari ini tidak lagi memakan tanah liat tempatan, kebanyakan orang tua-tua yang menetap di sepanjang Jalan Thong Nhat masih mengatakan tanah liat merupakan snek kegemaran mereka.

Orang tua-tua di kawasan itu berkata mereka tidak tahu berapa lama adat resam tersebut telah wujud. Kebanyakan mereka berkata mereka telah melihat datuk nenek dan ibu bapa mereka memakan tanah liat apabila mereka masih kecil lagi.

Pada awal tahun 90an, pasangan Khong Van Loa dan Khong Thi Bien masih berakal dan pintar.

Bien berkata dia dilahir di Delta Sungai Lo (kini Daeerah Sungai Lo) dan dia masih terkenangkan orang tua-tua dalam keluarganya meletakkan tanah liat dalam mulut mereka dan mengunyahnya seperti gula-gula. Semenjak itu, dia pun meniru mereka dan telah memakan tanah liat berdekad-dekad lamanya.

Tanah liat dibakar di atas api yang diperbuat daripada daun sim. – ANN/Vietnam News
Tanah liat istimewa yang boleh didapati di wilayah Vinh Phuc. – ANN/Vietnam News

Khong Thi Bien adalah antara warga emas terakhir di kampung yang memakan tanah liat. – ANN/Vietnam News

Jenis tanah liat di Delta Sungai Lo hampir lenyap selepas itu. Beberapa penduduk menemui tanah liat yang sama di kawasan sekitar Jalan Thong Nhat.

“Tanah liat ini rasa sedap,” kata Bien sambil mengunyah tanah liat berkenaan.

“Bukan semua jenis tanah boleh dimakan. Kami hanya memakan jenis tanah liat di kawasan ini.”

“Saya sudah ketagih. Saya mesti memakan setiap hari jika tidak, saya tidak rasa sihat, samalah seperti penagih rokok,” katanya.

Tanah liat bakar itu adalah lembut, rasa agak manis dan harum.

Ramai penduduk tempatan berkata memakan tanah liat adalah sama seperti memakan bekalan kering untuk tentera, namun mereka tidak rasa dahaga seperti apabila memakan makanan kering.

Menurut Bien, tanah liat didapati di bawah permukaan tanah. Menggali ke dalam, seseorang boleh menemui bahagian tanah putih yang kelihatan seakan-akan seperti kapur, yang merupakan tanah liat yang boleh dimakan.

Tanah liat yang boleh dimakan boleh didapati dalam dua warna: putih susu dan biru muda. Mereka yang mempunyai gigi yang kuat boleh memakan tanah liat biru muda sementara orang tua-tua hanya boleh memakan jenis berwarna putih.

Tanah liat biru adalah lebih keras untuk dikunyah, menurut penduduk kampung.

Tanah liat itu seterusnya dicuci dan dikeringkan. Ketulan besar kemudian dipotong kecil-kecil sebesar saiz gula-gula.

Selepas itu penduduk tempatan membakar daun sim (Rhodomyrtus tomentosa), sejenis belukar, dan mengasapi tanah liat di atas api. Bau daun yang terbakar diserap dalam tanah liat, mewujudkan rasa yang unik.

Warga emas di kampung berkata memakan tanah liat sudah menjadi satu tabiat, namun sesetengah mereka percaya snek tersebut mempunyai khasiat ubat.

Tanah liat digunakan sebagai sejenis pencuci mulut yang akan ditawarkan oleh penduduk kampung apabila mereka menziarahi rumah saudara atau kawan mereka.

Kira-kira 20 hingga 30 tahun lalu, jenis tanah liat ini dijual di pasar tempatan. Gerai tanah liat didirikan bersebelahan dengan gerai yang menjual sayur-sayuran dan daging.

Lap Thach merupakan kawasan yang membekalkan tanah liat kepada pelbagai kawasan jiran seperti Tam Duong, Vinh Tuong, Lam Thao, Phu Ninh di wilayah Phu Tho dan wilayah Ha Giang dan Tuyen Quang.

Bien berkata keluarganya menggali tanah liat dari satu kawasan di belakang kebunnya. Tanah liat berkenaan masih boleh diperoleh sekarang. Bien berkata pakar Vietnam dan Korea Selatan telah menjalankan pelbagai kajian tetapi dia belum diberitahu mengenai keputusannya setakat ini.

“Sekarang saya hanya mempunyai kira-kira 100 kilogram tanah liat untuk dimakan,” katanya. “Bukit di sana telah dipecahkan oleh anak saya untuk membina rumah mereka.”

Bien berkata apabila dia masih kecil, tidak adanya snek beraneka seperti yang didapati hari ini. Dengan itu, dari kanak-kanak hingga orang dewasa, setiap orang memakan tanah liat sebagai snek, terutamanya wanita mengandung.

“Ada kalanya saya menjual sebakul penuh tanah liat di pasar,” ujarnya.

Menurut Le Van Huu, pegawai tempatan di daerah itu pada tahun 1970, ramai orang memakan tanah liat.

Dia juga masih ingat melihat tanah liat dijual di pasar tempatan.

“Tanah liat jenis ini tidak lagi ditemui di mana-mana tempat di sini kecuali kawasan bukit di belakang kebun Bien,” katanya.

Dia berkata tidak adanya bukti yang menunjukkan tanah liat adalah bagus untuk kesihatan.

Adat tersebut wujud sejak dari dulu lagi, apabila tanah merupakan hadiah yang diberikan pada majlis pertunangan.

Linh Nam Chich Quai, catatan peristiwa istimewa di Vietnam, berkata perkahwinan pada zaman dahulu sama ada diberkati atau tidak bergantung sepenuhnya pada tanah yang diberikan.

Tanah yang disebut dalam buku mungkin merupakan tanah yang dimakan penduduk Vietnam beberapa dekad lalu.

Beberapa penyelidik asing termasuk G. Dumoutier pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 menyelidiki adat berkenaan.

Dumoutier menulis dalam esai 1908 mengenai penduduk Tonkin bahawa memakan tanah liat adalah popular di wilayah Son Tay, Ha Dong, Nam Dinh dan Thai Binh.

Beliau menulis sesetengah warga asing tertanya-tanya mengenai tabiat aneh itu dan mengambil sampel tanah ke Paris untuk dianalisis, dan didapati tanah berkenaan mempunyai khasiat galian seperti besi, kalsium dan beberapa asid. – ANN/Vietnam News