Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Tanah runtuh ragut 25 jiwa

    LAS TEJERIAS, VENEZUELA, 10 OKT – Kira-kira 25 terkorban, manakala lebih 50 lagi hilang dalam kejadian tanah runtuh akibat limpahan sungai, menurut pegawai semalam, dalam bencana baharu akibat hujan lebat di Venezuela.

    Rumah dan premis perniagaan musnah dalam kebanjiran malam Sabtu, yang mengakibatkan bandar Las Tejerias dilitupi lumpur dan serpihan, termasuk pokok tumbang, barangan rumah dan kereta remuk.

    “Kami menyaksikan kerosakan ketara di sini, nyawa terkorban,” kata Naib Presiden, Delcy Rodriguez memberitahu media di tempat kejadian.

    Menteri Dalam Negeri, Remigio Ceballos pula berkata, kira-kira 25 orang meninggal dunia dalam bencana itu, memaklumkan jumlah terkini dalam televisyen kerajaan VTV lewat kelmarin.

    “Malangnya, setakat ini kami menemukan 25 yang terkorban. Selain itu, 52 mangsa dilaporkan masih hilang,” katanya, menambah usaha mencari diteruskan.

    Penduduk meredah kayu balak yang dihanyutkan semasa banjir akibat sungai melimpah di Las Tejerias, Venezuela pada 9 Oktober. – AP

    Puluhan kes kematian direkodkan susulan pelbagai kejadian bencana akibat taburan hujan yang tinggi dalam sejarah negara Amerika Selatan itu, sejak beberapa bulan lalu.

    “Perkampungan itu hilang. Las Tejerias hilang,” kata Carmen Melendez, 55 tahun, yang sudah lama tinggal di bandar itu yang jauhnya 50km dari ibu negara, Caracas, memberitahu AFP.

    Kira-kira 1,000 orang telah menyertai usaha menyelamat, Remigio Ceballos memberitahu AFP, ketika beliau berada di tapak tersebut semasa lawatannya.

    Penduduk menggali sisa-sisa rumah yang musnah mencari orang tersayang, manakala pasukan pencari tiba bersama anjing berharap dapat menemui mangsa terselamat yang terperangkap dalam runtuhan.

    Sebuah kedai daging yang telah ditutup akibat pandemik dan dijangka dibuka semula hari ini telah ditimbus lumpur yang meliputi peti sejuk dan semua barangan di dalamnya.

    “Kami sedang menunggu daging dihantar – untuk mula beroperasi selepas dua tahun ditutup,” kata Ramon Arvelo, salah seorang pekerja yang membantu membersihkan lumpur. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...