Tanah TOL tidak boleh dijual – Menteri Muda Sarawak

SIBU, 25 JUN – Pemegang tanah berstatus lesen pendudukan sementara (TOL) yang dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak diingatkan agar tidak menjual tanah itu.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Dr Annuar Rapaee yang memberikan nasihat itu berkata, ini kerana urusan jual beli tanah TOL adalah tidak sah dan hanya akan merugikan kedua-dua belah pihak.

“Ini masalah yang dihadapi sekarang, ada pemegang (tanah TOL) menganggap tanah itu milik mereka dan menjualnya kepada pihak lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis simbolik penyerahan TOL Kediaman Blok D Kampung Hijrah kepada 32 penduduk di sini, hari ini.

Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka berkata kerajaan memberikan TOL dengan hasrat untuk membantu rakyat memiliki rumah sendiri. Beliau menjelaskan pemegang tanah TOL masih boleh melakukan pindah nama kepada nama isteri atau anak mereka dengan memohon kepada Jabatan Tanah dan Survei. – Bernama