Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Tanai amanah jaga keselamatan

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Apabila menyaksikan nilai-nilai ketulusan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pastinya salah satu perkara yang sentiasa dititikberatkan oleh Baginda Sultan khususnya dalam aspek keselamatan ialah untuk sentiasa mempraktikkan perlaksanaan undang-undang dan peraturan yang betul demi sama-sama menggapai ke arah keselamatan dan kesejahteraan agama, bangsa dan negara.

    “Oleh itu, bagi sama-sama menanai matlamat berkenaan, menjadi peranan Jabatan Penjara bukan hanya dalam menjaga aspek keselamatan bahkan juga bagi memulihkan penghuni-penghuni untuk kembali kepada pangkuan masyarakat dengan menjadi individu-individu yang lebih berguna serta diterima baik oleh insan-insan di sekeliling pada masa-masa akan datang.”

    Perkara itu ditekankan oleh Ketua Pegawai Penjara, Dayang Salwa @ Megawati binti Haji Salleh, selaku ketua penyelaras perbarisan pasukan beruniform bagi Jabatan Penjara ketika ditemui Media Permata semasa Istiadat Perbarisan Kehormatan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, ibu negara, pagi tadi.

    “Sejajar ke arah hasrat nilai-nilai tulus Baginda Sultan berkenaan semestinya menjadi pegangan dan tanggungjawab yang besar kepada Jabatan Penjara dalam melaksanakan program-program tertentu meliputi Program Perkhidmatan Seliaan atau Program Reintegrasi,” ujarnya lagi dengan perbarisan turut disertai 32 orang pegawai jabatan tersebut.

    Sementara itu, acara perbarisan turut disertai oleh seramai 30 orang pegawai dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja yang diketuai oleh Timbalan Penguasa Kastam, Pengiran Mohammad Aliyul Azim yang antaranya mengongsikan kesyukuran yang tidak terhingga.

    Katanya, pada saat itulah semua agensi penguatkuasaan dan pasukan-pasukan yang lain berkumpul bagi meraikan hari penuh bersejarah buat pemimpin negara yang begitu prihatin dengan kemaslahatan dan segala aspek pentadbiran negara di mana sesi perbarisan berkenaan turut melambangkan peranan dan tanggungjawab setiap pasukan untuk lebih proaktif dan progresif menanaikan amanah dari hari ke hari.

    “Oleh itu, dalam suasana negara meniti norma baharu, apa yang perlu kita lakukan ialah untuk sama-sama mematuhi dengan sebaik-baiknya apa sahaja peraturan yang ditetapkan oleh mana-mana pihak berkepentingan dari semasa ke semasa, lebih-lebih lagi apabila aktiviti rentas sempadan negara dibuka kembali nanti,” ujarnya.

    Pengiran Mohammad Aliyul Azim semasa ditemu bual pada upacara di ibu negara.
    Dayang Salwa @ Megawati ketika ditemu bual media.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...