Wednesday, April 24, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Tanai kepimpinan berkebolehan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Kementerian Pertahanan sangat menitikberatkan nilai Program Perkembangan Eksekutif (EDP) bagi Dasar Awam dan Pengurusan bagi Pegawai-pegawai Kanan dan menganggapkannya penting demi pembangunan profesional sumber manusia bagi memastikan pegawai dalam peranan kepimpinan berkebolehan dan cekap dalam menggalas tanggungjawab semasa dan akan datang.

    Perkara itu ditekankan oleh Setiausaha Tetap (Dasar, Kewangan dan Pentadbiran) di Kementerian Pertahanan, Kolonel (B) Norsuriati binti Haji Sharbini dalam ucapannya semasa Perasmian EDP bagi Dasar Awam dan Pengurusan bagi Pegawai-pegawai Kanan ke-17 yang berlangsung di Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah (IPPSSHHB), Bolkiah Garison, hari ini.

    Beliau juga menyarankan peserta kursus untuk memanfaatkan pengajaran serta kemahiran baharu daripada program berkenaan, terutamanya dari sudut penggubalan dasar dan pengurusan perubahan, untuk mempertingkatkan lagi sumbangan ke arah pencapaian matlamat strategik organisasi dan negara dalam konteks persekitaran keselamatan yang dinamik.

    Beliau juga percaya bahawa program berkenaan merupakan sebuah platform cemerlang dalam usaha negara untuk mempromosikan pelaksanaan pendekatan seluruh negara dengan menumpukan kepada mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Terdahulu dalam majlis berkenaan, Naib Dekan (Hal Ehwal Akademik) dan Profesor Madya di Lee Kuan Yew School of Public Policy (LKYSPP), Universiti Kebangsaan Singapura, Profesor Suzaina Kadir dalam ucapan alu-aluannya memuji hubungan erat yang berterusan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura khususnya dalam bidang pembangunan profesional dan pendidikan antara kedua-dua institusi berkenaan.

    Program EDP ke-17 anjuran Kementerian Pertahanan diadakan bermula 12 September hingga 2 Disember di mana ia disertai oleh seramai 30 orang peserta termasuk 21 orang pegawai kanan tentera yang berpangkat Leftenan Kolonel dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), seorang pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei, dua orang pegawai kanan dari kementerian-kementerian lain iaitu Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan serta tiga orang pegawai tentera luar negara dari Republik Indonesia, Kesultanan Oman dan Republik Singapura.

    Program selama tiga bulan itu akan disampaikan oleh ahli fakulti yang terdiri daripada tenaga akademik dan pakar-pakar berpengalaman dari LKYSPP, Universiti Kebangsaan Singapura.

    Ia juga akan menampilkan pengisian tempatan seperti pembentangan daripada penceramah jemputan khas dan lawatan-lawatan ke beberapa kementerian dalam usaha untuk memberi kefahaman yang lebih mendalam tentang persekitaran strategik Negara Brunei Darussalam, di samping tumpuan utamanya terhadap dasar dan pengurusan awam.

    Seramai 387 orang pegawai kanan telah berjaya menamatkan EDP sejak ia mula diperkenalkan pada 2004.

    Kolonel (B) Norsuriati bergambar ramai dengan para peserta Program EDP ke-17 yang berlangsung di IPPSSHHB, Bolkiah Garison.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...