Tanai kesedaran kepentingan insurans Islam

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Insurans Islam Taib General Takaful (IITGT) dan Insurans Islam Taib Family Takaful Sdn Bhd (IITFT) hari ini mengadakan taklimat mengenai kepentingan insurans Islam kepada para pelajar tahun 9, 10 hingga 11 di Sekolah Menengah Lambak Kiri.

Taklimat disampaikan oleh Pemangku Pengurus Divisyen Jualan IITGT, Awang Roslan bin Haji Awang Mohd Tahir manakala IIFT diwakili oleh Pemangku Pegawai Eksekutif Divisyen Jualan, Awang Rithwan bin Haji Ahmad.

Taklimat dihasratkan dapat memperkenalkan fungsi dan perkhidmatan industri insurans Islam di negara ini kepada pelajar yang mengambil subjek berkaitan perdagangan dan kira-kira serta memberi peluang kepada pelajar mengetahui lebih lanjut mengenai insurans.

Mereka juga menyertai kuiz dan berpeluang menang produk Insurans Islam TAIB. Ia berakhir dengan sesi bergambar ramai dan penghargaan daripada wakil Insurans Islam Taib dan Pengetua Sekolah Menengah Lambak Kiri, Dayang Rosmawati binti Mohamad.

Gambar ramai pelajar dan wakil Insurans Islam TAIB dan warga sekolah pada taklimat itu. – Gambar serahan IITGT