Wednesday, June 7, 2023
27.9 C
Brunei

    -

    Tanai sikap prihatin

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 29 Jun – Sikap prihatin segenap lapisan masyarakat di negara ini mencerminkan masyarakat kita yang tidak tercicir atau terpinggir daripada menikmati tahap kehidupan yang berpatutan.

    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Jabatan-jabatan di bawahnya di Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Tutong, petang tadi turut berkata, sikap sedemikian seharusnya dipupuk dan dipelihara khasnya dalam kalangan anggota masyarakat di peringkat kampung dan mukim.

    Di samping itu, Yang Berhormat Pehin juga berharap sikap tersebut terus diamalkan selepas bulan Syawal ini supaya mereka yang memerlukan bantuan akan terus dapat diberikan perhatian dan seterusnya mendukung salah satu pencapaian wawasan 2035, iaitu kualiti kehidupan yang tinggi dalam kalangan 10 negara terbaik.

    Yang Berhormat Pehin juga berharap majlis perundingan mukim dan kampung akan dapat bekerjasama dengan agensi-agensi, persatuan dan kumpulan-kumpulan serta individu di kampung dan mukim bagi melaksanakan rancangan pemedulian orang-orang yang memerlukan iaitu bantuan yang bukan sahaja tertumpu kepada bantuan kewangan dan makanan, tetapi juga nasihat kaunseling dan memeduli soal pendidikan keluarga yang memerlukan.

    Majlis hari ini diselajurkan dengan penyampaian Pingat Kerja Lama (P.K.L) dan sijil kepada pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya yang telah bersara tahun lepas.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa menyampaikan Pingat Kerja Lama kepada salah seorang penerima di Majlis Sambutan Hari Raya Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-jabatan di bawahnya di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong, kelmarin.

    Seramai 125 pegawai dan kakitangan KHEDN telah menerima P.K.L dan 92 orang pegawai dan kakitangan yang telah bersara menerima sijil persaraan mereka yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin.

    Majlis diadakan antara lain bertujuan untuk sama-sama memeriahkan suasana Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang mubarak bersama dengan warga KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya termasuk penghulu mukim dan ketua kampung di keempat-empat daerah.

    Suasana majlis turut diserikan lagi dengan persembahan daripada Badan Kebudayaan Jabatan Penjara.

    Hadir sama pada majlis tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara daripada wakil-wakil daerah, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap KHEDN, ketua-ketua jabatan di bawah KHEDN serta penghulu mukim dan ketua-ketua kampung.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    NZ ambil tindakan penggunaan vape

    WELLINGTON, 6 JUN - New Zealand akan mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan vape atau rokok elektronik untuk melindungi golongan mudanya, umum Menteri Kesihatan Ayesha...
    - Advertisment -