BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar mengenai undang-undang perlindungan pengguna dan hak mereka sebagai pengguna, Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menghoskan sesi advokasi bertajuk ‘Menanamkan Budaya Pengguna Bijak di Brunei Darussalam’, baru-baru ini.
Sesi berkenan disampaikan oleh Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna (DCCA), Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan UBD, sesi yang dianjurkan oleh Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UBD (UBDSBE) itu memperkenalkan pelajar kepada fungsi DCCA, asas kepada undang-undang perlindungan pengguna di Brunei Darussalam dan menunjukkan bagaimana para pelajar boleh menjadi bijak menerusi aplikasi mudah alih jabatan berkenaan.
Selain itu, para pelajar juga mengetahui bagaimana mereka boleh melaksanakan hak mereka menerusi aplikasi mudah alih berkenaan iaitu PenggunaBijak.
Para pelajar diajar bagaimana menggunakan aplikasi tersebut yang membolehkan pengguna membandingkan harga bagi barangan tertentu, membuat aduan dengan mudah, mendapatkan maklumat terkini mengenai aktiviti jualan dan kemas kini harga
maksimum serta akses kepada bahan-bahan pendidikan mengenai perlindungan
pengguna.
Semasa sesi berkenaan, para pelajar juga berpeluang mengemukakan soalan dan isu pengguna yang dihadapi dalam segmen soal jawab.
DCCA berharap bahawa dialog berkenaan akan memotivasikan pelajar untuk mengambil topik perlindungan pengguna sebagai bidang penyelidikan.