Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Minggu Wang Global merupakan acara tahunan yang diadakan di seluruh dunia untuk meningkatkan kesedaran mengenai kewangan yang disambut setiap bulan Mac.
Penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam acara itu merupakan penyertaan kali ketujuh di mana negara mula menyertai sambutan berkenaan pada 2013, jelas Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Kurikulum, Haji Zulkifli bin Haji Muhammad Yusuf dalam kata alu-aluannya pada Pertandingan Akhir Kuiz Literasi Kewangan bagi Murid Tahun 5 Sekolah-sekolah Rendah dan Penyampaian Hadiah serta Sijil yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat, menyaksikan dan menyempurnakan hadiah kepada para pemenang pertandingan kuiz berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Haji Zulkifli dalam kata alu-aluannya lagi menyatakan bahawa Program Minggu Wang Global itu diperkenalkan oleh Child & Youth Finance International (CYFI) dan ia diraikan dengan penganjuran aktiviti-aktiviti setempat dan serantau dengan matlamat untuk menggalakkan kanak-kanak dan belia supaya mempelajari mengenai pentingnya wang, menjimatkan wang, menjana mata pencarian, mendapatkan pekerjaan dan menjadi seorang usahawan.
Sambutan Minggu Wang Global 2019 diraikan dengan mengadakan tiga aktiviti iaitu Pertandingan Kuiz Literasi Kewangan, Bengkel dan Pertandingan Ilustrasi Jalur Komik di mana pertandingan kuiz literasi kewangan disertai oleh murid-murid Tahun 5 dari 12 buah sekolah rendah kerajaan.

Pada pusingan akhir pertandingan berkenaan, dua buah sekolah beraksi untuk merebut gelaran juara iaitu Pasukan Sekolah Rendah (SR) Anggerek Desa dan SR Sinaut Tutong di mana Pasukan SR Anggerek Desa muncul juara dan membawa pulang hadiah berupa piala, sijil dan akaun simpanan $300 untuk setiap peserta.
Tempat kedua dimenangi oleh Pasukan SR Sinaut, Tutong yang membawa pulang sijil, piala dan akaun simpanan $250 untuk setiap peserta, tempat ketiga disandang oleh pasukan SR Dato Mohd Yassin yang membawa pulang sijil, piala dan akaun simpanan $150 untuk setiap peserta manakala itu, tempat keempat dimenangi oleh Pasukan SR Pantai Berakas yang membawa pulang hadiah berupa sijil dan piala.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah dan sijil bagi pemenang-pemenang Pertandingan Ilustrasi Jalur Komik di mana tempat pertama disandang oleh Dayang Siti Nurezzati Nabila binti Zainudin yang memenangi hadiah berupa akaun simpanan $500, tempat kedua ialah Dayang Syasya Sahira binti Yusop yang membawa pulang hadiah akaun simpanan $300 dan di tempat ketiga, Awang Mohammad Azizan bin Haji Mohammad Anas membawa pulang hadiah akaun simpanan $200.
Hadiah para pemenang di majlis berkenaan disampaikan oleh Dr Shamsiah Zuraini Kancahanawati di mana pertandingan itu disokong oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).
Pertandingan yang diadakan itu bertujuan untuk menanamkan kesedaran mengenai pendidikan kewangan di peringkat awal lagi, membangunkan ilmu pengetahuan dan kompetensi bagi pendidikan kewangan serta untuk meningkatkan kemahiran abad ke-21 selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.
Kemahiran-kemahiran berkenaan termasuk kerja berpasukan, kemahiran komunikasi, kemahiran menyelesaikan masalah dan kemahiran membuat keputusan. Kesemua itu adalah selaras dengan tema Minggu Wang Global 2019, Belajar.Jimat.Pendapatan (Learn.Save.Earn), yang sesuai bagi murid-murid di peringkat rendah.





























