Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Lebih 200 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip sepanjang kempen kebersihan di Pantai Seri Kenangan, Tutong, anjuran QAF Auto Sdn Bhd dengan kerjasama The Beach Bunch, baru-baru ini.
Diadakan bertepatan dengan Minggu Sosial BMW 2022, kempen itu bertujuan untuk memberi galakkan dan inspirasi kepada orang ramai untuk terlibat dalam aktiviti sosial.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo dipetik berkata, “Sebagai pengedar sah rasmi kenderaan BMW di Brunei, tanggungjawab sosial adalah penting untuk komitmen kami terhadap kemapanan sosial.
“Acara berkenaan sungguh memberangsangkan dengan melihat ramai individu berkumpul untuk tujuan yang sama bagi membantu memastikan Pantai Seri Kenangan di Tutong sentiasa bersih, selamat dan menyeronokkan untuk semua,” ujarnya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden dan Pengasas The Beach Bunch, Awang Rizan Latif, kerana membantu mereka menganjurkan acara yang menakjubkan itu, serta kepada semua pelanggan BMW, kakitangan dan ahli Pasukan Generasi Bimmer atas penyertaan dan sokongan mereka dalam kempen berkenaan.
Terdahulu, acara bermula di bilik pameran BMW dan berkonvoi ke Pantai Seri Kenangan.
Para peserta dibahagiakan kepada beberapa kumpulan, dengan kumpulan yang paling banyak mengumpul sampah dan sisa telah menerima hadiah sagu hati.