Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Piawaian Brunei Darussalam iaitu PBD 32:2017-Tourism Services Standard: Public Toilet menekankan kesedaran mengenai pentingnya kebersihan tandas awam dan secara tidak langsung menyokong industri pelancongan yang mampan dari segi keselesaan pelancong ke Negara Brunei Darussalam.
Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Pelancongan, Dayang Emmilia Watiqah binti Abdullah Jemming selaku Penolong Pengerusi kepada Komiti Standard Pelancongan dalam kata alu-aluannya semasa Acara Pemberigaan Standard Kebangsaan Tandas Awam PBD 32:2017 yang berlangsung di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pengarah Industri dan Ekosistem Perniagaan, Allen On selaku Pemangku Pengarah Pusat Standard Kebangsaan serta pegawai-pegawai kanan dari pusat berkenaan.
Dayang Emmilia Watiqah menyatakan penyediaan piawai PBD 32:2017 diharap akan dapat dijadikan sebagai garis panduan dan rujukan dalam memastikan kebersihan tandas bagi mana-mana pengurus atau pemilik di premis-premis seperti tempat membeli-belah, taman, restoran dan pos kawalan imigresen.
Mengulas mengenai acara pemberigaan itu, Dayang Emmilia Watiqah berkata ia adalah untuk memberikan kesedaran bahawa kebersihan dan penggunaan tandas yang berhemah adalah tanggungjawab semua pihak mahupun pengguna, pengurus atau pemilik tandas serta sektor kerajaan.
“Dalam pada itu, di bawah naungan Jawatankuasa Isu Kebersihan Tandas Awam ingin memperkenalkan sistem maklum balas kebersihan, keselesaan dan keselamatan tandas yang mana bertujuan untuk pemantauan kebersihan tandas yang lebih efektif,” tambahnya.
Sistem itu, jelas beliau, membolehkan pihak awam menghadapkan maklum balas mengenai status kebersihan sesebuah tandas yang sering dikunjungi.
“Ini akan membantu pihak kerajaan dan pengurus-pengurus tandas untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan berasaskan maklum balas yang diterima,” tambahnya.
Acara pemberigaan yang diadakan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Pusat Standard Kebangsaan (PSK), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dihadiri oleh 54 orang peserta dari pelbagai sektor kerajaan dan swasta dari Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong iaitu Kementerian Kesihatan, majlis perundingan kampung, majlis perundingan mukim, restoran, pusat membeli-belah dan premis-premis lain yang dipantau oleh Jabatan Pelancongan.
Pada majlis berkenaan, penerangan mengenai dengan proses pembangunan standard serta peraturan-peraturan teknikal dan kesihatan yang perlu dipatuhi telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Pusat Standard Kebangsaan, Pengiran Abdul Shahid bin Pengiran Haji Amir Bahar; Pegawai Pelancongan selaku ahli kepada Komiti Teknikal Perkhidmatan Pelancongan, Awang Affandi bin Haji Alias; dan Pegawai Kesihatan Awam, Unit Kesihatan dan Pengawasan Persekitaran, Hajah Rohhuzaimah binti Haji Yahya.
Acara pemberigaan itu bermatlamat untuk memperkenalkan Piawai Brunei Darussalam iaitu PBD 32:2017- Tourism Services Standard: Public Toilet yang menyediakan garis panduan asas dalam memastikan kebersihan tandas awam.
Piawai itu terhasil dari ASEAN Public Toilet Standard yang menumpukan kepada empat kriteria iaitu reka bentuk dan sistem pengurusan alam sekitar, peralatan dan kemudahan, kebersihan serta keselamatan.