Tanam kesedaran pentingkan kebersihan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Seramai 69 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun Penemuan Universiti Brunei Darussalam dan orang awam telah berjaya mengumpulkan 24 beg sampah dengan berat 135kg dalam kempen kebersihan yang dijalankan di Pantai Muara, kelmarin.

Turut hadir pada acara itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari yang juga merupakan penyelia bagi projek berkenaan.

Dalam kempen yang mengambil masa kira-kira 45 minit itu, para sukarelawan berjalan sejauh 300 meter untuk mengutip sampah yang termasuk pintu peti sejuk, penutup botol, berus gigi, lamin, puntung rokok, tayar, kusyen dan satu tilam.

Menurut kenyataan yang diberikan, kempen bertujuan untuk memberigakan dan menanamkan kesedaran mengenai kepentingan kebersihan, keselamatan dan mempromosikan pemuliharaan persekitaran pantai.

Acara tersebut disokong oleh Green Brunei dan diadakan sebagai sebahagian daripada aktiviti khidmat masyarakat bersama perwakilan daripada Society for Community
Outreach and Training (SCOT).

Sementara itu, secara berasingan kelmarin, sekumpulan 12 orang belia telah membaca Yasin dan diikuti dengan kempen kebersihan di tanah perkuburan orang-orang Islam di Mukim Kianggeh.

Aktiviti berkenaan juga dikendalikan sebagai aktiviti khidmat masyarakat yang disertai oleh belia-belia dari Green Brunei, Green Depot Kuala Belait dan SCOT.

Kempen kebersihan berkenaan mengambil masa tiga jam di mana para belia berkenaan telah mengumpulkan lebih 20 beg sampah yang merangkumi botol-botol plastik, daun kering dan bahan-bahan buangan.

Sukarelawan bergambar ramai bersama sampah-sampah yang dikumpulan selepas kempen di tanah perkuburan Islam di Mukim Kianggeh.