Tanam keyakinan, kemahiran komunikasi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah berkenan menyertai para pelajar Tahun 6 Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) membuat pementasan berkumpulan di Black Box Theatre, Pusat Kesenian JIS, hari ini.

Menurut kenyataan JIS hari ini, pementasan yang disertai oleh seramai 80 pelajar itu mengetengahkan kisah yang diambil daripada penjelajah kutub terkenal, Ernest Shackleton dan misi NASA, Apollo 13 yang gagal.

Diarahkan dan ditulis bersama oleh Ketua Muzik dan Drama Sekolah Rendah, Anna Hogan, beliau turut membantu menulis semula skrip bersama para pelajar Tahun 6 dengan memikirkan apa yang dimiliki oleh semua orang untuk hidup dan bagaimana menghadapi kesusahan yang akhirnya membawa kepada ‘semangat’ dan kepimpinan.

Di JIS, drama diperkenalkan kepada sekolah rendah dari Tahun 3 hingga Tahun 6 bagi menanamkan keyakinan dalam diri serta membantu mereka untuk menilai dan mengingat semula tajuk-tajuk yang diajarkan di dalam bilik darjah dalam cara dan konteks berlainan.

“Setiap tahun kumpulan di JIS melakukan persembahan tahunan yang menyokong kanak-kanak untuk mewujudkan kemahiran komunikasi di hadapan para penonton. Mereka disokong untuk menunjukkan idea mereka secara kreatif di samping melibatkan diri dengan penonton,” tambah Anna Hogan.

YANG Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah berkenan menyertai para pelajar Tahun 6 Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) membuat pementasan berkumpulan bersama 80 pelajar JIS lain di Black Box Theatre, Pusat Kesenian JIS.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah berkenan menyertai para pelajar Tahun 6 JIS membuat pementasan berkumpulan di Black Box Theatre, JIS.