Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Seramai 139 orang penuntut Tahun 7 Sekolah Menengah St Andrew telah menghadiri taklimat kenegaraan ‘Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’ yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, hari ini.
Taklimat yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyaraktan itu disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya.
Beliau telah menyentuh mengenai tatacara menaikkan dan mengibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan lebih terperinci.
Pada taklimat itu, penuntut sekolah berkenaan juga berpeluang menyaksikan klip video ‘Kibarkanlah dengan Megah Bendera Negara’ dan ‘Semarak Pengibaran Bendera Negara’.


Program berkenaan dihadiri oleh Timbalan Pengetua, Dr. Chong Ah Fok dan tenaga pengajar sekolah.
Penuntut sekolah itu juga berpeluang menyertai kuiz kenegaraan yang dikendalikan oleh jabatan berkenaan untuk melihat sejauh mana kefahaman mereka mengenai taklimat tersebut.
Program berkenaan merupakan salah sau usaha berterusan jabatan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara di samping mengukuhkan semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut melalui lagu kebangsaan dan bendera Negara.