Tanam nilai murni dalam masyarakat

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mac – Persatuan KamiPrihatin yang juga dikenali sebagai WeCare, buat pertama kalinya telah menganjurkan ‘Forum Prihatin’ yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa.

Antara yang hadir pada forum petang itu ialah kalangan penuntut institusi pengajian tinggi dan wakil-wakil dari persatuan-persatuan berdaftar di negara ini.

‘Forum Prihatin’ merupakan platform bagi meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya golongan belia mengenai penglibatan dalam kerja-kerja kemanusiaan seperti membantu keluarga yang kurang bernasib baik dalam kalangan masyarakat di dalam dan luar negara.

Antara topik yang dibincangkan termasuk peranan belia dalam masyarakat serta cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan kerja-kerja kemanusiaan.

Gambar ramai para peserta yang hadir bersama ahli panel dan pihak penganjur forum.

Tiga ahli panel yang dijemput terdiri daripada Awang Hadi Iqbal dari Society for Community Outreach & Training (SCOT); Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sallehuddin, pengasas Projek BIna Ukhwah dan Awang Iqbal Damit dari Persatuan Hand4Hand Brunei.

Persatuan KamiPrihatin merupakan sebuah persatuan bukan kerajaan yang telah ditubuhkan pada tahun 2016, dengan tujuan untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan berkaitan dengan isu-isu kemanusiaan tempatan mahupun luar negara serta menanamkan nilai-nilai murni dan memupuk sifat memberi dan prihatin dalam masyarakat.