Thursday, June 8, 2023
33.6 C
Brunei

    -

    Tanam pokok rai Hari Ozon sedunia 2020

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Negara Brunei Darussalam menerusi Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan, tidak terkecuali menyertai masyarakat global bagi memperingati Hari Ozon Sedunia 2020, yang lazimnya disambut setiap 16 September di mana sambutan pada tahun ini membawa tema Ozone for Life: 35 Years of Ozone Layer Protection.

    Sehubungan itu, bagi meraikan sambutan berkenaan, acara penanaman pokok diadakan dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) di Taman Riadah, Jalan Pusat Persidangan, kelmarin.

    Hadir semasa acara berkenaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein selaku pengerusi bersama Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam serta ahli-ahli Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa bin Haji Ash’ari; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Tiffany McDonald; Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, TYT Lim Hong Huai dan Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, PYT Jeanette Stovel, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan dari KSSUP, Kementerian Pembangunan, Kementerian Pengangkutan dan Infokumunikasi dan Kementerian Tenaga, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Hengyi Industries Sdn Bhd, Chen Lian Chai serta peserta-peserta Larian Maya Hari Alam Sekitar Sedunia 2020.

    Acara itu dimulakan dengan penanaman pokok buah oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny di kawasan yang dikhaskan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menanam pokok di acara penanaman pokok di Taman Riadah, Jalan Pusat Persidangan, kelmarin.
    Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Menteri Tenaga dan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi serta para jemputan khas bergambar ramai pada acara penanaman pokok di Taman Riadah, Jalan Pusat Persidangan, kelmarin.

    Ini diikuti dengan penanaman pokok-pokok lain termasuk pokok hiasan dan pokok hutan oleh jemputan yang lain. Yang Berhormat menteri-menteri seterusnya bergerak meninjau zon-zon penanaman pokok di mana sejumlah 421 pohon pokok baru ditanam di taman berkenaan yang membawa jumlah kepada 911 pohon pokok yang ada di taman tersebut.

    Pokok-pokok yang ditanam ialah termasuk pokok Jagus (Anacardium occidentale), Jambu Mawar (Syzygium jambos), Jambu Putat (Syzygium malaccense), Luli (Garcinia hombroniana), Durian Salat (Annona muricata), Nona (Annona squamosa), Asam Aur­aur (Garcinia forbesii), Sabal telor (Dacroydes macrocarpa, Dacroydes expansa), Sabal besar (Dacroydes macrocarpa, Dacroydes expansa), Durian (Durio graveolens), Tarap (Artocarpus odoratissimus), Ru Runang (Gymnostoma nobile), Yellow Tabebuia (Tabebuia aurea), Pink Tabebuia (Tabebuia impetiginosa) serta Rain tree (Samanea saman).

    Acara itu adalah bersesuaian dengan tema Hari Ozon Sedunia 2020, di mana penanaman pokok boleh mengurangkan pendedahan bumi daripada sinaran UV-B, yang mana sinaran tersebut merupakan kesan berbahaya kepada penghakisan lapisan ozon.

    Di samping itu, acara berkenaan juga adalah sebagai salah satu usaha kerajaan ke arah mencapai salah satu strategi utama Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam yang telah dilancarkan pada 25 Julai 2020, iaitu mencapai sasaran untuk menanam 500,000 pohon pokok baru menjelang 2035.

    Buat masa ini, taman berkeluasan 29 hektar itu diselenggarakan oleh JASTRe dengan kerjasama KSSUP dan jabatan-jabatan yang relevan serta dirancang akan dibukakan kepada orang ramai dalam masa yg terdekat, setelah kerja-kerja pembersihan dan pemeliharaan siap dilaksanakan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Biparjoy dijangka terus mengganas

    NEW DELHI, 7 JUN – Jabatan Meteorologi India (IMD) hari ini berkata lekukan dalam yang memuncak menjadi ribut siklon teruk Biparjoy di bahagian timur-tengah...
    - Advertisment -