Tanam pokok sambut hari kemerdekaan India ke-74

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan India ke-74, lebih 20 orang ahli komuniti India menyertai acara menanam pokok anjuran Persatuan India Bandar Seri Begawan (BSBIA) yang diadakan di Pusara Komuniti India di Berakas, hari ini.

Hadir dan turut serta dalam acara yang juga dihasratkan untuk menyahut seruan dalam menyokong usaha agensi-agensi kerajaan Negara Brunei Darussalam untuk memulihara alam sekitar berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar.

Turut hadir ialah Presiden BSBIA, Ravi Chandran, ahli-ahli persatuan serta ahli komuniti India.

Pada majlis itu, Ravi Chandran menyatakan penghargaan kepada TYT Ajaneesh Kumar dan semua yang hadir untuk sama-sama menjayakan acara yang julung-julung kali diadakan itu.

Beliau menyatakan harapan, menerusi kegiatan itu, ia akan menanamkan perasaan cinta kepada alam sekitar dan sama-sama menyokong inisiatif pemuliharaan alam semula jadi.

Terdahulu sebelum acara menanam pokok dimulakan, TYT Ajaneesh Kumar dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada komuniti India di Negara Brunei Darussalam yang terus memberikan sokongan serta menyumbang secara positif kepada kebajikan dan kesejahteraan masyarakat Brunei.

Beliau turut menyatakan harapan bahawa projek seumpama itu akan dapat diteruskan pada masa akan datang di mana komuniti India di Brunei sama-sama memainkan peranan untuk memulihara alam semula jadi dan persekitaran.

Majlis kemudian menyaksikan penanaman pokok yang didahului oleh TYT Ajaneesh Kumar dan diikuti ahli-ahli komuniti India yang sama-sama hadir pada acara itu.

Kira-kira 74 pohon pokok dan tumbuhan telah ditanam dalam acara berkenaan.

TYT Ajaneesh Kumar menyiram pokok yang baru ditanamnya pada acara anjuran BSBIA, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani