Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    Tanam semula 2,000 spesies tumbuhan hutan

    KUALA LUMPUR – Bertitik tolak daripada kesedaran untuk memulihara tumbuhan hutan termasuk orkid liar yang hampir pupus akibat pembalakan dan penerokaan tanah, Suzairi Zakaria, 46, mengambil inisiatif menanam semula tumbuhan unik itu di halaman rumahnya di Setiu, Terengganu.

    Jurugambar berpengalaman lebih 15 tahun itu telah memulakan usaha pemuliharaan hutan hujan tropika sejak 2015 dan kini berjaya menanam semula lebih 2,000 spesies tumbuhan hutan termasuk 200 orkid liar yang ditemui di tanah bris dan kawasan pembalakan di sekitar negeri itu.

    Suzairi berkata tumbuhan hutan seperti paku-pakis, halia hutan, periuk kera, hoya dan pelbagai spesies lain serta orkid liar di tanam semula di halaman rumahnya yang dinamakan ‘Pusat Kajian dan Konservasi WildDome’, sehinggakan ia menjadi lokasi rujukan dan kunjungan ahli konservasi, penyelidik dan peminat orkid seluruh negara.

    Beliau berkata minat untuk mengumpul orkid liar dan tumbuhan hutan bermula selepas beliau sering kali ke tanah bencah Setiu (Setiu Wetland) untuk merakam gambar-gambar berunsur alam semula jadi seperti tumbuhan, haiwan sebagai dokumentasi kepelbagaian biodiversiti di negeri itu.

    “Ada tempat yang sudah biasa saya pergi dan apabila kembali semula, saya terkejut tempat itu telah berubah wajah akibat penerokaan tanah dan hutan, kebanyakannya adalah habitat semula jadi tumbuhan hutan dan orkid liar yang membiak dan menumpang pada dahan pokok besar.

    Suzairi Zakaria, 46, jurugambar berpengalaman lebih 15 tahun mengambil inisiatif menanam semula tumbuhan hutan termasuk orkid liar yang hampir pupus di halaman rumahnya, Setiu, Terengganu akibat pembalakan dan penerokaan tanah di negeri itu. – Bernama
    Suzairi Zakaria membawa pulang tumbuhan hutan termasuk orkid liar untuk ditanam semula. – Bernama

    “Jadi, mana-mana tumbuhan hutan dan orkid liar yang boleh diselamatkan saya bawa balik dan tanam semula,” katanya sambil menambah telah meluaskan usaha konservasi itu di kawasan pembalakan lain termasuk di hutan sekitar Tasik Kenyir.

    Berkongsi cabaran menanam semula pokok-pokok berkenaan, Suzairi yang juga dikenali Dome berkata beliau perlu menyesuaikan setiap spesies tumbuhan dengan habitat asalnya, seperti keperluan kepada cahaya matahari secara langsung, harus ditanam di kawasan redup dan ada juga tumbuhan tidak boleh terlalu lembab, kerana dikhuatiri dijangkiti kulat yang mengakibatkan tumbuhan mati.

    Menariknya, usaha pemuliharaan biodiversiti Suzairi itu juga telah berjaya menemukan beberapa orkid liar dan tumbuhan hutan baharu antaranya periuk kera atau nama saintifiknya Nepenthes latiffiana, Nepenthes domei dan orkid liar pula seperti Bromheadia petuangensis, Dendrobium ruseae dan Dendrobium mizanii yang dinamakan sempena nama Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

    “Saya perlu bekerjasama dengan ahli botani yang berkelayakan bagi menghuraikan penemuan spesies baharu kerana setiap penemuannya perlu ada penulisan kertas penyelidikan untuk mengesahkan penemuan itu di dalam mana-mana jurnal saintifik,” katanya.

    Antara institusi yang bekerjasama dengannya ialah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Putra Malaysia (UPM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Pusat Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

    Selain dilantik Karyawan Tamu Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT, Suzairi juga menerima pengiktirafan antarabangsa daripada seorang pakar orkid Guatemala yang menamakan spesies orkid baharu di negara itu bersempena dengan namanya, Chysis domei atas usaha kerja botani dan menghuraikan spesies baharu khazanah biodiversiti di Terengganu.

    Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT Prof Madya Dr Jamilah Mohd Salim berkata usaha Suzairi secara tidak langsung telah memberikan impak yang besar untuk disebarkan kepada orang ramai dalam usaha mencintai dan mengenali kepelbagaian biodiversiti.

    “Peranan beliau juga telah banyak membantu penyelidik universiti yang ketinggalan banyak perkara mengenai fenomena alam yang berlaku di dalam hutan,” katanya.

    Katanya terdapat lebih 200,000 spesies hutan tumbuhan dan lebih 1,000 spesies orkid liar di Semenanjung dan sehingga kini 248 orkid liar di Terengganu telah direkodkan dalam herbarium seperti Herbarium Singapura, Yayasan Orkid Switzerland dan National Herbarium of the Netherlands. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pengawal dari Pakistan tuntut kewarganegaraan

    SYDNEY, 18 APRIL - Perdana menteri Australia hari ini berkata beliau akan mempertimbangkan untuk memberikan kewarganegaraan kepada seorang pengawal keselamatan Pakistan yang cedera dalam...