Tanam sifat murni, prihatin

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Para pelajar selaku barisan pemimpin muda masa hadapan, harus menanamkan sifat prihatin serta kesuka-relawan dalam diri mereka untuk menghulurkan bantuan dan khidmat bakti kepada masyarakat serta golongan yang memerlukan.

Bagi menanamkan sifat-sifat murni itu dalam diri para pelajar, Bahagian Aktiviti Kokurikulum, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli), Gadong telah melaksanakan Program Bakti Pelajar dengan mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Amar Pahlawan, Berakas, kelmarin.

Program lawatan itu adalah bersempena dengan Program Bilik Darjah Awal Kanak-kanak Bakti Pelajar dan disertai oleh seramai 70 orang pelajar Tingkatan 6 bawah bersama 15 orang pensyarah serta kakitangan maktab berkenaan menghulurkan bantuan mengadakan pelbagai aktiviti sukarelawan.

Program Bakti Pelajar ditubuhkan pada 2011 oleh Bahagian Aktiviti Kokurikulum maktab berkenaan bagi membangunkan rasa tanggungjawab sosial para pelajar menerusi penglibatan mereka dalam kegiatan-kegiatan sukarelawan, prihatin dan kebajikan.

Semasa program sehari itu, para pelajar, pensyarah dan kakitangan maktab mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan termasuk membersihkan bahagian-bahagian yang ditetapkan, menyusun bilik darjah serta melukis dan mereka mural di dinding sekolah berkenaan.

Aktiviti-aktiviti yang disertai oleh para pelajar, pensyarah dan kakitangan maktab itu adalah berdasarkan kepada maklum balas, perbincangan dan ketetapan oleh kakitangan dari sekolah-sekolah berkenaan.

Para pelajar melakukan kerja-kerja sukarela di Sekolah Rendah Amar Pahlawan, Berakas. – Gambar oleh Maktab Duli