Tanam sikap pemanduan beretika, berperaturan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Negara Brunei Darussalam pada 2018, mencatatkan sebanyak 433 kecederaan dan 17 kematian disebabkan kemalangan jalan raya di mana daripada 17 kematian yang dicatatkan itu, 10 kematian atau 59 peratus adalah bagi kumpulan usia 19 hingga 38 tahun.

Mangsa-mangsa berkenaan merupakan kumpulan belia yang produktif bagi ne-gara dan kematian yang disebabkan kemalangan merupakan antara penyebab kematian yang tertinggi dalam kalangan golongan muda di negara ini.

Bagi mangsa yang terkorban dalam kemalangan, mereka tidak boleh diganti dan ahli keluarga serta kenalan yang ditinggalkan setentunya akan merasakan kehilangan mereka itu untuk sepanjang kehidupan mereka.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Pengangkutan (CfTR), Universiti Teknologi Brunei, Dr Tan Soon Jiann semasa Forum Sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia (WDR) yang berlangsung di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini. Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan pelancaran Minggu Keselamatan Jalan Raya bagi 2019 dan Pelancaran Pertandingan Video Keselamatan Jalan Raya ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR).

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin selaku timbalan pengerusi MKKJR, ketua urus setia dan ahli-ahli MKKJR, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan daripada kementerian-kementerian serta agensi-agensi yang berkepentingan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib ketika menyempurnakan pelancaran Minggu Keselamatan Jalan Raya Sedunia 2019 dan Pertandingan Video Keselamatan Jalan raya di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, kelmarin.
Barisan ahli panel forum,Haji Rozaly, Dr Siti Zaharah,Dr Tan Soon Jiann danMohd Roger Ainsworth semasa forum sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia (WDR) yang berlangsung di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Forum yang membawa tema Life is not a Car Part itu mengetengahkan ahli-ahli panel yang terdiri daripada penceramah dari dalam dan luar negara yang mengongsi pendekatan ke arah meningkatkan keselamatan di jalan raya iaitu Ketua Pengarah di Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Siti Zaharah Ishak; Pengarah Pengangkutan Darat, Haji Rozaly bin Haji Saidon selaku ketua urus setia MKKJR, Dr Tan Soon Jiann dan Penasihat Eksekutif Megamas Training Company Sdn Bhd, Mohd Roger Ainsworth.

Sementara itu, Haji Rozaly ketika menyentuh mengenai tema WDR 2019, menyatakan bahawa tema yang diketengahkan adalah amat bertepatan sekali dan sangat relevan di mana tema itu dapat ditafsirkan sebagai nyawa itu adalah tidak ternilai harganya serta tidak boleh ditukar ganti.

Beliau turut menyatakan bahawa tema itu adalah berpandukan kepada Tunggak 3 dalam Pelan Tindakan Sedekad Global bagi Keselamatan Jalan Raya 2011-2020, khususnya berhubungan dengan kenderaan lebih selamat dari segi penggunaan teknologi keselamatan kenderaan yang lebih baik mengikut piawaian-piawaian antarabangsa.

Sasaran utama forum itu ialah bagi orang ramai khususnya para belia supaya dapat memupuk kesedaran terhadap prinsip-prinsip pemanduan yang selamat ketika berada di jalan raya.

“Lazimnya apabila kemalangan terjadi, mangsa tidak menyedari bahawanya dia terlibat dalam kemalangan dan sebagainya. Mangsa hanya akan mengetahui telah terjadi sesuatu dan setelah kemalangan terjadi, perkara itu sudah terlambat dan adalah satu perkara yang perlu diambil perhatian,” jelasnya.

Oleh itu, beliau menyatakan bahawa MKKJR terus berusaha untuk menerapkan kesedaran dan memberikan penerangan kepada pengguna jalan raya khususnya pemandu supaya tidak lupa mengenai dengan kepentingan amalan pemanduan yang selamat. Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan bahawa dalam mengetengahkan keselamatan di jalan raya, ia memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak hanya bergantung pada pihak kerajaan atau MKKJR tetapi juga dalam kalangan pengguna jalan raya itu sendiri di mana mereka harus menanamkan sikap pemanduan beretika dan berperaturan.

Dengan penekanan itu, ia diharap akan dapat mengurangkan atau mencegah kejadian kemalangan dan kematian yang disebabkan oleh kemala-ngan di jalan raya.

Forum berkenaan merupakan sebahagian daripada aktiviti yang telah dijadualkan sempena Minggu Keselamatan Jalan Raya bagi 2019 yang dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bersama MKKJR. Selain daripada forum itu, Pertandingan Video Keselamatan Jalan Raya juga dirasmikan yang dibukakan bagi penyertaan orang ramai bermula hari ini hingga 31 Januari 2020. Maklumat lanjut mengenai pertandingan berkenaan boleh didapati melalui laman sesawang rasmi MKKJR, www.mkkjr.gov.bn.

WDR adalah inisiatif antarabangsa yang disambut pada setiap Ahad minggu ketiga November.

Bersempena dengan WDR, pelbagai aktiviti telah disusun di bawah Minggu Keselamatan Jalan Raya bagi 2019 antara lainnya pameran keselamatan jalan raya dan permainan trafik jalan raya, perkhemahan belia, larian dan kayuhan amal serta pelancaran video rasmi MKKJR bagi mempromosikan keselamatan jalan raya di negara ini.