Sunday, April 2, 2023
22.4 C
Brunei

-

Tanaman kopi selamatkan hutan unik Mozambique

MOZAMBIQUE – Dari jauh, Gunung Gorongosa nampak berlekak-lekuk.

Lereng gunung bersejarah di Mozambique ini pernah dilitupi hutan hujan yang menghijau.

Namun sekarang, cerun berkenaan meninggalkan kesan lubang yang dalam – hasil daripada aktiviti penebangan pokok berleluasa sehingga mendedahkan tanah-tanih dan menyebabkan kawasan tersebut menjadi kering-kontang, sekali gus meninggalkan pemandangan pokok renek dan rumput sahaja.

Namun dalam beberapa tahun ini, hutan tersebut telah tumbuh semula, disebabkan tanaman asing yang tidak dikenali sebelum ini, iaitu kopi.

Ketika Juliasse Samuel Sabao berjalan menerusi ladang, yang terletak kira-kira 1,000 meter di atas paras laut, dia menunjukkan kemajuan yang jelas kelihatan.

Pemandangan udara menunjukkan ladang kopi di banjaran gunung Gorongosa di Gorongosa. – AFP
Seorang pekerja memotong dan memetik buah kopi di ladang kopi di banjaran gunung Gorongosa. – AFP
Sekumpulan ahli rasa kopi menjelaskan kerja mereka di pusat pemprosesan industri kopi Gorongosa di Gorongosa. – AFP
Seorang pekerja ladang kopi bergambar bersebelahan air terjun Murombodzi di banjaran gunung Gorongosa. – AFP
Pemandangan umum pusat pemprosesan industri biji kopi di Gorongosa. – AFP

Satu bahagian kawasan menyerupai padang pasir. Di sebelah satu lagi, hutan tebal melindungi pokok kopi yang ditanam secara teratur.

“Sebelum ini, kawasan ini amat kosong. Hari ini, awda melihat hasilnya.

“Kopi memerlukan tempat teduh untuk membesar. Maka, untuk setiap tanaman kopi, kami juga menanam pokok,” katanya.

Sabao, yang bekerja di Taman Negara Gorongosa, melarikan diri ke Zimbabwe untuk melepaskan diri daripada kemelut perang saudara yang berlaku di Mozambique.

Di sana, dia menemui budaya mengenai kopi.

Dia membawa balik ilmu pengetahuan tersebut untuk membantu memulihkan kawasan gunung, yang sebahagiannya terputus dari dunia luar berdekad-dekad lamanya.

Mozambique terbabit dalam perang sengit untuk mencapai kemerdekaan daripada Portugal, namun selepas merdeka pada 1975, perang saudara membelenggu negara itu yang berlarutan hingga tahun 1992.

Satu konflik yang lebih kecil meletus selepas itu pada 2013, berakhir dengan satu perjanjian perdamaian pada 2019.

Semasa konflik, pemberontak Renamo yang menggunakan banjaran gunung sebagai pangkalan peperangan dan kubu mereka, mengeksploitasi sumber asli di taman itu sehingga menjejas teruk alam sekitar di kawasan itu.

Pedro Muagara, pakar agronomi terlatih dan pengarah taman, telah menanam beberapa anak benih sehingga konflik memusnahkan impian kopinya.

Ketika perang berlarutan sehingga tahun-tahun akhir, pemberontak mendirikan khemah di cerun gunung bersama keluarga mereka. Mereka membersihkan hutan untuk bercucuk tanam demi kelangsungan hidup.

Kini dia sudah kembali, mengajar komuniti cara-cara baharu bercucuk tanam.

“Penduduk berkenaan bergantung pada perladangan sara hidup, disebabkan mereka tidak mampu membeli jentera seperti traktor. Ia mengubah kehidupan mereka menjadi nomad pertanian,” katanya.

“Maka, mereka akan membersihkan beberapa kawasan, dan seterusnya pembasmian hutan akan menghapus nutrien dari tanah.

“Tanah itu akan terhakis dan menjadi tandus, dan apabila keadaan itu berlaku, penduduk akan membersihkan kawasan lain,” katanya.

“Perjanjian perdamaian gagal menyelesaikan masalah komuniti di kawasan gunung.

“Mereka tidak mempunyai latihan atau sumber untuk beralih daripada pertanian dari satu tempat ke satu tempat kepada pertanian pemuliharaan,” kata Muagara.

“Kami terpaksa menjelaskan kepada mereka bahawa apabila mereka kehilangan sebatang pokok, mereka kehilangan mata pencarian.”

Tanaman kopi memerlukan beberapa tahun untuk menjadi produktif, dengan itu program yang diperkenalkan juga termasuk tanaman makanan supaya komuniti masih boleh menyara diri mereka.

Bank Dunia berkata Gorongosa masa ini mempunyai kira-kira 300,000 tanaman kopi serta 400,000 pokok gajus, 400 sarang lebah dan 300 pekerjaan baharu.

Kopi Gorongosa dieksport ke seluruh dunia, dengan keuntungan dilabur semula dalam projek ladang kopi.

Pemulihan hutan mencerminkan kelahiran semula Gorongosa yang lebih besar, sejak perkongsian 20 tahun ditubuhkan pada 2008 di antara Mozambique dan yayasan dermawan Amerika Syarikat (AS), Greg Carr.

Bank Dunia telah memuji perkongsian tersebut sebagai satu contoh, yang telah memanfaatkan kira-kira 200,000 penduduk di kawasan itu.

Program itu juga sejajar dengan matlamat kerajaan untuk mempertingkatkan sektor perladangan dan berkembang kepada eksport komoditi mentah, kata Celso Correia, Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Mozambique.

“Salah satu cabaran terbesar dalam sektor pertanian adalah kekurangan jentera, dan keperluan pemindahan teknologi,” ujarnya.

“Apa yang paling penting adalah mendapatkan sumber, tetapi pada masa yang sama juga mempertingkat mobiliti, membangunkan infrastruktur dan pengangkutan, supaya kami boleh mempertingkat rantaian nilai.”

Dengan peperangan di Ukraine, ‘inflasi harga komoditi juga menjejas Mozambique. Kami perlu mengurangkan tekanan ini…menambah pengeluaran dan menjadi mampu sara diri.’

“Kami tidak boleh bergantung pada projek antarabangsa.” – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Hayashi bakal lawat China di tengah-tengah ketegangan

TOKYO, 31 MAC - Menteri Luar Jepun, Yoshimasa Hayashi hari ini berkata beliau akan mengadakan lawatan ke China hujung minggu ini untuk berbincang dengan...
- Advertisment -