Tanaman zaitun Syria ‘berhijrah’ ke Kurdistan, Iraq

ARBIL – Terletak di kawasan bukit Kurdistan, Iraq adalah berpuluh-puluh ribu pokok zaitun, tumbuh subur di tanah air baharu selepas diseludup masuk dari negara jiran Syria.

Dahan mereka lebat dengan buah zaitun ungu-hitam yang bersedia untuk dipetik.

Penjaga mereka, ahli perniagaan Kurdish Syria Suleiman Sheikho, berasa bangga telah membawa perniagaan minyak zaitun ke kawasan autonomi utara Iraq.

“Tahun ini merupakan tahun yang bagus,” kata Sheikho, 58 tahun, yang telah membawa pokok-pokok zaitun dari kampung halamannya di Afrin di barat laut Syria ke Iraq sejak 2007.

“Di ladang ini, saya mempunyai 42,000 batang pokok zaitun, kesemuanya saya bawa dari Afrin apabila ianya masih berusia tiga tahun,” beritahunya kepada AFP, merujuk kepada barisan pokok yang tumbuh secara teratur saujana mata memandang. Pada awal 2018, misinya berubah menjadi lebih serius.

Suleiman Sheikho berdiri di ladang zaitun yang terdiri daripada pokok-pokok yang diseludup dari Syria di Arbil, ibu negeri utara rantau Kurdish Iraq. – AFP
Pemandangan pokok zaitun yang ditanam secara teratur di Arbil. – AFP

Seorang pekerja memasukkan zaitun yang telah dipetik ke dalam mesin pemprosesan di sebuah ladang zaitun di Arbil. – AFP

Turki, yang melihat zon separa autonomi Kurdish Afron di sempadannya sebagai satu ancaman, menyokong satu serangan oleh kumpulan pemberontak Syria untuk menga-wal kawasan berkenaan.

Operasi itu, digelar ‘Cabang Zaitun,’ menyebabkan puluhan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal mereka, di mana kebanyakan mereka mencari nafkah berdekad-dekad lamanya dengan menghasilkan minyak zaitun di kawasan yang mempunyai iklim sederhana itu.

Sheikho sendiri seorang pekebun zaitun generasi keempat dan mempunyai 4,000 batang pokok di Afrin yang berusia lebih satu abad.

Ahli perniagaan berbadan tinggi lampai itu, yang pernah berkhidmat sebagai ketua Kesatuan Pengeluaran Zaitun Afrin, mula mengambil tindakan. Beliau membawa beberapa pokoknya mengikut undang-undang, tetapi menyeludup sebahagiannya ke sempadan, dikendali di kedua-dua sempadan oleh pihak berkuasa Kurdish.

Sesetengah penduduk yang baru berpindah menyertai dusunnya, terletak di kalangan vila mewah musim panas berhampiran ibu negeri serantau Arbil. Beliau menjual pokok lain kepada pekebun di seluruh Iraq.

Zaitun mentah merupakan makanan asas di meja makan tengah hari Levantine, sementara minyak mereka digunakan dalam masakan dan direnjis di atas sajian pembuka selera kegemaran seperti ‘hummus’.

Minyak juga boleh digunakan untuk membuat sabun, sementara sisa hitam kelihatan seperti habuk gergaji daripada zaitun diperah pada musim luruh lazimnya dibakar untuk memanaskan rumah-rumah pada musim sejuk.

Pokok zaitun bergelut untuk hidup dalam cuaca panas terik dan landskap padang pasir di Iraq, maka minyak warna ku-ning-kehijauan sudah lama diimport dari Lubnan, Syria atau Turki.

Industri minyak domestik mungkin mengubah kesemua-nya. Sheikho berasa lega dapat menjumpai tanah berhampiran Arbil yang sesuai untuk penanaman pokok zaitun sama seperti kampung halamannya, namun suhu yang lebih panas bermakna pokok-pokok memerlukan rangkaian pengairan yang lebih besar.

Terdapat dua musim memetik setahun, satu pada Februari dan satu lagi pada November.

Beliau membina pemerah, di mana zaitun diasingkan daripada ranting dan daun, dibuang biji dan seterusnya diperah untuk menghasilkan minyak pekat aromatik.

Berpakaian dalam blazer kelabu semasa kunjungan AFP, Sheikho menguji kualiti minyak zaitun dengan meminumnya mentah daripada pemerah, sebelum cecair likat dituang ke dalam jag plastik.

“Untuk setiap 100 kilo zaitun, saya menghasilkan 23 kilo minyak zaitun,” beritahunya kepada AFP.

Pengeluaran minyak zaitun masih belum bertapak kukuh apabila Sheikho mula bekerja di sana, tetapi telah berkembang pesat sejak penduduk Syria yang kehilangan tempat tinggal akibat peperangan hampir satu dekad dalam negara mula berpindah ke sana. Menurut kementerian perladangan kerajaan serantau Kurdish (KRG), terdapat lebih 169,000 pokok zaitun di kawasan Kurdish pada 2008.

Sejak itu, kementerian melabur kira-kira AS$23 juta dalam menanam dan mengimport pokok berkenaan, yang sekarang mencecah kira-kira empat juta, katanya.

Kawasan itu mempunyai setengah dozen pemerah zaitun, menggaji ramai penduduk Kurd Syria dari Afrin. Sheikho melihat lebih banyak tanah yang subur di kawasan lain.

“Pekebun di sini mempunyai banyak idea hebat dan mereka mempunyai cita-cita besar,” beritahunya kepada AFP.

“Dengan kerja keras dan pengalaman pekebun Afrin, mereka akan mewujudkan masa depan amat cerah untuk perniagaan zaitun.” – AFP