Tanamkan semangat kenegaraan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 27 Feb – Lebih 40 orang kalangan pelajar Tahun 7 Sekolah St James telah menghadiri Taklimat Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di dewan serba guna sekolah tersebut hari ini.

Majlis tersebut merupakan program berterusan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui cawangan Penerangan Daerah Belait untuk menyemai rasa cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara di samping mengukuhkan semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut melalui lagu kebangsaan dan bendera negara.

Taklimat telah disampaikan oleh Penolong Pengawai Penerangan Ketua Cawangan Penerangan Belait, Pengiran Haji Ahmad Fadilah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahuddin.

Dalam taklimatnya, beliau telah menyentuh mengenai tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan terperinci.

Pengiran Haji Ahmad Fadilah Akhbar semasa menyampaikan taklimat kepada para pelajar.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengetua Sekolah St James, Haji Mohd Masa Masdi bin Saidun serta tenaga-tenaga pengajar sekolah.

Para pelajar juga telah berpeluang menyaksikan klip video ‘kibarkanlah Dengan Megah Bendera Negara’, ‘Semarak Pengibaran Bendera Negara’ dan video ‘Animasi Tatacara Menaikkan Bendera Negara’ serta klip video aplikasi mudah alih ‘InfoDeptBN’.

Di samping itu, program turut dimuatkan dengan sesi Kuiz Kenegaraan yang dibukakan kepada para pelajar yang turut menerima hadiah jika berjaya menjawab kuiz-kuiz yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan tersebut.