Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Tanda harga mengelirukan, 1 kompaun, 2 notis amaran dikeluarkan

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar serahan JPES

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengeluarkan satu kompaun dan dua notis amaran ke atas tiga buah premis perniagaan kerana tidak mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, JPES melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna telah melaksanakan penguatkuasaan rutin harian dan mendapati sebuah premis perniagaan telah memaparkan tanda harga yang mengelirukan iaitu paparan tanda harga tidak selaras dengan harga yang tercatat dalam sistem pembayaran.

    Sehubungan itu, syarikat itu telah dikeluarkan kompaun sebanyak $500 atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 berkenaan.

    Manakala itu, dua notis amaran telah dikeluarkan pada hujung September lalu terhadap dua buah premis perniagaan atas kesalahan sama yang boleh memperdayakan pelanggan.

    Selain penguatkuasaan rutin harian yang dilaksanakan, JPES juga menerima maklumat dalam bentuk aduan daripada pengguna melalui saluran rasmi yang telah disediakan seperti aplikasi mudah alih PenggunaBijak, Talian Darussalam 123 dan e-mel aduanpengguna@jpes.gov.bn.

    Pegawai JPES semasa membuat pemeriksaan di salah sebuah premis perniagaan.
    Pegawai penguat kuasa membuat pemeriksaan di salah sebuah premis perniagaan.

    Setakat September 2022, JPES telah menerima sebanyak 62 peratus aduan daripada Talian Darussalam 123, 11 peratus daripada aplikasi mudah alih PenggunaBijak, dan selebihnya diterima melalui e-mel serta kaedah lain.

    Aplikasi mudah alih PenggunaBijak boleh dimuat turun melalui platform App Store dan Google Play.

    JPES menggalakkan para pengguna untuk mengoptimumkan penggunaan saluran rasmi bagi melaporkan sebarang aduan berkaitan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142.

    Aduan hendaklah dilaporkan secara bertanggungjawab dengan menyertakan maklumat lengkap termasuk dokumen sokongan seperti resit pembayaran dan gambar sebagai bukti.

    Orang ramai selaku pengguna juga mempunyai peranan untuk mengamalkan konsep PenggunaBijak dengan membuat perbandingan harga melalui fungsi yang telah disediakan di dalam aplikasi mudah alih PenggunaBijak, bagi mendapatkan nilai pembelian yang terbaik.

    Peniaga juga diminta untuk sentiasa peka dan patuh terhadap perundangan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 yang telah ditetapkan.

    Pematuhan peniaga terhadap perundangan berkenaan memainkan peranan yang penting dalam membantu mewujudkan amalan perniagaan yang wajar dan beretika.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...