Tanda penghargaan

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, telah menerima kunjungan Hari Raya Aidilfitri daripada Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Ehwal Luar Negeri Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Mohamad Maliki bin Osman dan isteri serta rombongan di kediaman Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi di Kampung Kiulap, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, hari ini, rombongan Tuan Yang Terutama turut disertai oleh ahli Parlimen Singapura, Joan Pereira dan suami serta Henry Kwek dan isteri. Tuan Yang Terutama diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Lim Hong Huai.

Kunjungan ini adalah sebagai tanda penghargaan atas hubungan kerjasama, persahabatan dan persefahaman di antara kedua-dua negara serta mengeratkan lagi hubungan sedia ada di samping mengakrabkan lagi ukhuwah persaudaraan.

Terdahulu rombongan Singapura dialu-alukan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dan isteri, Datin Dayang Noor Ashikin binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohammad Tahir

Turut hadir mengalu-alukan rombongan ialah setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap dan beberapa pegawai kanan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bergambar ramai bersama TYT Dr Mohamad Maliki serta rombongan dari Singapura.
Tanda penghargaan atas hubungan kerjasama, persahabatan dan persefahaman di antara kedua-dua negara.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib beramah mesra bersama TYT Dr Mohamad Maliki semasa kunjungan Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.