Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 23 Julai – Biarpun bulan Syawal telah sampai ke penghujungnya, Sambutan Hari Raya Aidilfitri masih meriah diadakan oleh pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa (AJK) Takmir Balai Ibadat Hajah Aminah, Kampung Long Mayan yang menganjurkannya dengan kerjasama AJK Majlis Perundingan Kampung (MPK) Long Mayan di kawasan Balai Raya Kampung Long Mayan, semalam.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penghulu Mukim Ukong, Haji Omar bin Abdul Aziz dan isteri.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan Ketua Belia Takmir Balai Ibadat Hajah Aminah Kampung Long Mayan, Awang Muhd Azinuddin bin Muhd Jani selaku pengerusi majlis.
Beliau menjelaskan, majlis itu diadakan untuk menzahirkan rasa kesyukuran kerana penduduk berjaya menyempurnakan ibadah puasa pada bulan Ramadan dan seterusnya bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama penduduk kampung.


Sambutan Hari Raya turut dimeriahkan dengan kuiz, cabutan bertuah, kerusi bertuah dan persembahan lagu-lagu raya oleh belia-belia kampung.
Majlis turut dimeriahkan dengan pertandingan pondok-pondok cantik yang mana Pondok Nong Tadion mendapat tempat pertama, Pondok Tang Kuyong di tempat kedua, Pondok Tan Junin di tempat ketiga dan Pondok Nong Janok di tempat keempat. Pondok-pondok tersebut berdasarkan nama-nama kawasan yang terdapat di sekitar Kampung Long Mayan.
Majlis dihadiri oleh seramai hampir 100 orang yang terdiri daripada penduduk Kampung Long Mayan termasuk orang-orang mualaf dan mereka yang bukan beragama Islam bagi memeriahkan suasana majlis.