Tanda syukur pelajar berjaya

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Seramai 58 orang pelajar yang lulus dalam Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) tahun lalu telah diraikan pada Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah bagi Pelajar Darjah 6 Tahun 1440H/2018M yang berlangsung di Pusat Kesenian, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS).

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil kepada para pelajar ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, ahli-ahli kepimpinan kanan JIS, guru-guru agama JIS dan juga para ibu bapa.

Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan bacaan Sayyidul Istighfar oleh pelajar-pelajar Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong dan disusuli dengan ucapan pengerusi majlis.

Pengerusi majlis selaku Guru Besar Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong, Hajah Noraidah binti Haji Tengah dalam ucapannya menjelaskan bahawa majlis tersebut bertujuan bagi meraikan pelajar-pelajar yang telah menamatkan persekolahan agama Darjah 6 dan sebagai tanda kesyukuran serta penghargaan kepada mereka yang berjaya dalam Peperiksaan SSSRU.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke hadir pada majlis penyampaian sijil para pelajar Darjah 6 Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama para pelajar yang menerima sijil mereka pada majlis tersebut.

Menurutnya lagi, majlis seumpamanya adalah kali ke-13 diadakan dengan kadar peratus lulus tahun ini ialah 98.27, di mana 52 pelajar telah mencapai Pangkat 1, empat pelajar mencapai Pangkat 2 dan seorang mencapai Pangkat 3 dalam peperiksaan mereka. Manakala, katanya, keramaian pelajar juga semakin meningkat dari semasa ke semasa hingga menjangkau kepada 255 orang bagi 2019 hingga 2020.

“Ini disebabkan kesedaran semua pihak tentang betapa pentingnya pelajaran agama itu pada diri individu pelajar itu sendiri lebih-lebih lagi dengan adanya Akta Pendidikan Ugama Wajib yang telah bermula pada Januari 2013,” jelas Hajah Noraidah.

Beliau seterusnya menyeru kepada penerima sijil supaya akan dapat menimba ilmu pengetahuan dan menjadikan ilmu pengetahuan agama yang diperolehi itu dijadikan amalan sepanjang hayat dalam kehidupan seharian lebih-lebih lagi dalam melaksanakan Fardu Ain.

Acara diteruskan dengan ucapan daripada Pengetua JIS, Nicholas Sheehan, diikuti dengan ucapan daripada tetamu kehormat. Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke dalam ucapannya antara lain mengongsikan bahawa kejayaan pelajar-pelajar tersebut akan dijadikan mentor yang terbaik kepada pelajar-pelajar yang masih menuntut di sekolah berkenaan.

Sebagai salah seorang ibu bapa kepada pelajar yang diraikan dan bagi mewakili para ibu bapa dan penjaga-penjaga pelajar lain yang telah menduduki peperiksaan bagi SSSRU pada tahun 2018, beliau juga menyatakan penghargaan kepada guru-guru Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong yang telah bertungkus-lumus meluangkan masa dan tenaga di dalam membantu pelajar-pelajar berkenaan.

Acara diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para pelajar dan anugerah pelajar terbaik kepada empat pelajar yang mencapai Pangkat 1 dan Agregat 5 dengan cemerlang.