Tanda syukur sempena hari kebangsaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Sebagai tanda syukur sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) hari ini telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison.

Hadir di majlis tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah; pemerintah-pemerintah angkatan tentera, Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai serta kakitangan.

Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan seterusnya bacaan Surah Ad-Duha hingga Surah An-Nas yang dipimpin oleh johan Musabaqah Tilawah Al-Quran Peringkat Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) Tahun 1442H/2021M, Soldadu Muhammad Zainul Arifin bin Haji Haminuddin, diikuti dengan bacaan Doa Khatam oleh Soldadu Mohd Muizz bin Mustafa.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara oleh Awang Mohd Rusaini bin Awang, diikuti dengan penyampaian tazkirah oleh Awang Abdul Nasir Saufi bin Hassan sebelum diakhiri dengan solat fardu Asar berjemaah.

Di samping menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-37, majlis tersebut diadakan adalah bagi menyemai semangat membaca dan menghayati Al-Quran di kalangan anggota kementerian berkenaan.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua semasa hadir pada majlis tersebut. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan