Tanda syukur sempena penubuhan PPB

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Sempena sambutan jubli perak penubuhan Pusat Pembangunan Belia (PPB), satu Majlis Solat Hajat dan Doa Kesyukuran telah diadakan malam ini di Masjid Salambigar, Bandar Seri Begawan.

Majlis anjuran pusat tersebut dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, selaku tetamu kehormat.

Ia juga dihadiri oleh setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), kakitangan pelatih PPB, mantan-mantan ketua pusat tersebut, bekas kakitangan dan alumni pusat.

Majlis diserikan dengan solat Sunat Hajat dan Doa Kesyukuran diketuai oleh Pegawai Imam Masjid Salambigar, Haji Masrol Azmi bin Abdullah.

Ia juga diisikan dengan solat Fardu Maghrib berjemaah, bacaan Surah Yasin dan tahlil beramai-ramai serta Doa Kesyukuran dan diakhiri dengan solat Fardu Isyak berjemaah.

Sambutan 25 tahun penubuhan pusat di Jalan Utama Tanah Jambu itu bermula pada 2 Jun 2021 lalu dan acara hari ini adalah bagi melafazkan tanda kesyukuran dan meraikan penubuhannya.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menghadiri majlis tersebut.