Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Tanda-tanda kecil sudah berlaku’

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Kebanyakan tanda-tanda atau alamat kecil hari kiamat itu telah dan sedang berlaku dalam kehidupan hari ini.

    “Sebagai contoh masa yang terasa pendek dan berlalu dengan pantas sehingga terdapat segelintir yang merasakan tidak mempunyai masa yang cukup untuk menguruskan keperluan dan kehidupan seharian,” kata khatib semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Percaya Pada Hari Kiamat’.

    Masa atau waktu yang berlalu dengan cepat dan pantas itu termasuk dalam tanda hampir berlakunya hari kiamat. Sesungguhnya tanda-tanda menjelang hari kiamat itu merupakan satu hikmah yang pa-ling besar kepada seluruh manusia dan ia juga merupakan peringatan daripada Allah.

    Menurutnya lagi, sebagai persiapan dan persediaan dalam menghadapinya adalah tidak lain dan tidak bukan dengan sentiasa berusaha meningkatkan iman dan takwa ke hadrat Allah supaya kita tidak lalai dan leka dengan urusan hal ehwal duniawi.

    Terdahulu khatib menjelaskan hari kiamat itu hari yang dijanjikan oleh Allah yang pasti akan berlaku, cuma kita tidak mengetahui bila hari itu akan terjadi kecuali Allah saja yang mengetahuinya.

    “Allah dengan rahmat dan kasih sayangNya telah menunjukkan tanda-tanda kiamat supaya orang yang berdosa sempat bertaubat dan orang yang beriman dan bertakwa itu sentiasa dapat mempertingkatkan lagi amal ibadat dan juga amal kebajikan,” jelasnya. Menurutnya lagi, hari kiamat antara lima perkara ghaib yang dirahsiakan waktu dan harinya berlaku oleh Allah dan Rasulullah SAW juga menerangkan mengenai tanda-tanda sebelum datang dan menjelangnya kiamat.

    Pada hari perhitungan itu tidak akan sesiapa yang dapat lari dan bersembunyi mencari tempat berlindung melainkan orang-orang yang dilindungi oleh naungan Allah.

    Ada tujuh golongan manusia yang dijanjikan naungan Allah atau perlindungan pada hari kiamat kelak, kata khatib berdasarkan apa yang Rasulullah SAW nyatakan dalam hadis Baginda.

    Mereka ialah pemimpin yang adil; seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah; seorang yang hatinya sentiasa terpaut pada masjid; dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana Allah; seorang laki-laki yang diajak berzina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata, ‘aku takut kepada Allah’; seorang yang bersedekah secara rahsia hingga seolah-olah tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya; dan akhir sekali seorang yang berzikir kepada Allah ketika bersendirian hingga berlinang air matanya basah kerana menangis.

    Pada hari kiamat, jelasnya lagi, seluruh umat manusia akan dihimpunkan di padang mahsyar untuk dihisab serta diadili dan akan menerima pembalasan setimpalnya.

    Ini berdasarkan amalan yang telah dilakukan semasa berada di dunia tanpa sedikit pun ditambah atau dikurangkan daripada amal perbuatan yang pernah dilakukan, hatta sebesar zarah pun akan tetap diadili oleh Allah. “Setiap manusia akan menerima hasil amal perbuatan dalam bentuk buku catatan amalan dan sekiranya diberi dan diterima dengan tangan kanan akan berbahagia si penerima kerana nikmat hidup di syurga bakal menantinya,” tambahnya.

    Manakala orang yang menerima buku catatan amalan mereka dari sebelah belakangnya iaitu dengan tangan kiri, disediakan baginya neraka. Dalam pada itu, khatib turut menyeru selagi masih diberi nikmat usia, kesihatan dan banyak lagi, umat Islam perlulah persiapkan diri memperbanyakkan amal ibadat dan amal kebajikan sebagai bekal untuk menuju kebahagiaan hidup di akhirat kelak kerana kita tidak tahu bilakah tiba masanya untuk dipanggil bertemu dengan Allah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda