Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Tandas terapung bantu atasi masalah sanitasi?

    Gambar AFP

    SIEM REAP, KEMBOJA – Sambil menuding ke air keruh di Tasik Tonle Sap, Si Vorn menahan tangis semasa dia mengenangkan anak perempuannya yang berusia empat tahun meninggal dunia akibat cirit-birit selepas bermain di tasik yang tercemar itu.

    Keluarga Si Vorn yang terdiri daripada 12 orang adalah antara 100,000 penduduk yang tinggal di rumah rakit terapung di sepanjang jalan air pedalaman yang luas di Kemboja, dan sementara kampung mereka mempunyai 70 rumah dan sebuah sekolah rendah, ia tidak mempunyai sistem sanitasi.

    Kini, sebuah perusahaan sosial tempatan, Wetlands Work (WW), mencuba menangani masalah tersebut dengan memperkenalkan ‘tandas terapung’ untuk menyaring sisa buangan, tetapi kos yang tinggi untuk pemasangan bermaksud untuk sekarang ia hanya tersedia untuk beberapa orang yang bertuah.

    Selama beberapa generasi, penduduk desa yang bergantung pada hasil tangkapan ikan telah membuang najis secara langsung ke dalam air yang digunakan oleh mereka untuk memasak, mencuci dan mandi – yang meningkatkan risiko dijangkiti cirit-birit dan penyakit berbahaya bawaan air lain seperti kolera.

    “Kami menggunakan air ini, kami meminum air ini, dan kami membuang air besar ke dalam air ini. Segala-galanya!” beritahu Si Vorn, 52, kepada AFP, sambil mengatakan keluarganya sering jatuh sakit.

    Pemandangan udara kampung terapung Chong Prolay di tasik Tonle Sap di wilayah Siem Reap.
    Tandas terapung kelihatan di kampung Chong Prolay di tasik Tonle Sap, Siem Reap.
    Si Vorn (kanan) dan anaknya berjalan keluar dari rumah mereka di kampung terapung Chong Prolay.
    Murid-murid meninggalkan sekolah mereka di kampung terapung Chong Prolay.
    Seorang guru bercangkung di atas tandas terapung di kampung Chong Prolay.

    “Setiap hari, saya risau tentang kesihatan saya. Lihatlah air ini, tidak ada sistem sanitasi. Saya sangat bimbang tetapi tidak tahu apa yang harus dilakukan.”

    Keajaiban mikrob

    Lebih daripada sejuta orang tinggal di atau sekitar Tasik Tonle Sap, industri penangkapan ikan pedalaman terbesar di dunia, tetapi tiada sistem yang disediakan untuk menguruskan sisa kotoran manusia daripada 20,000 rumah terapung di sekitar tasik.

    Kemboja, terjejas oleh peperangan dan rejim genosid Khmer Merah pada tahun 1970an, adalah antara negara paling miskin di Asia Tenggara.

    Kira-kira sepertiga daripada penduduk tidak mempunyai akses kepada tandas yang bersih, menurut badan amal WaterAid, dan penyakit cirit-birit merupakan penyebab utama kematian kanak-kanak di bawah usia lima tahun.

    Wetlands Work berharap HandyPod, nama yang diberikan kepada tandas terapung, dapat membantu kampung Si Vorn dan kampung-kampung seumpama itu di negara-negara lain.

    HandyPod menggunakan tiga tangki kecil untuk menapis dan membersihkan kumbahan.

    Sisa buangan manusia bergerak dari tandas ke tangki pertama, kemudian ke tangki kedua dan ketiga. Di dalam, trilion mikrob dalam ‘biofilem’ – matriks mikroorganisma berlendir – membuang patogen dan air yang dirawat disalurkan ke dalam tasik.

    “Kami mengatasi isu sanitasi di kampung-kampung terapung yang tidak pernah mengalami sanitasi sebelum ini,” beritahu Taber Hand, pengasas Wetlands Work, kepada AFP.

    Air ‘kelabu’ yang dihasilkan mungkin tidak cukup bersih untuk diminum, tetapi selamat digunakan untuk mencuci dan memasak.

    Syarikat itu telah memasang 19 tandas terapung di Chong Prolay, kampung Si Vorn, dan ia terbukti popular dalam kalangan mereka yang memilikinya.

    “Kami menggunakan air ini kerana sebotol air bersih berharga 4,000 riel (AS$1), jadi kami tidak mampu membeli air bersih untuk kegunaan, memasak dan mandi,” beritahu nelayan Roeun Nov, yang memenangi HandyPod percuma melalui cabutan bertuah dua bulan yang lalu, kepada AFP.

    “Kami membeli air bersih hanya untuk minuman.”

    Kos satu halangan

    WW telah memasang lebih daripada 100 HandyPod di 20 kampung di atas tasik melalui dua projek berasingan yang dibiayai oleh Kesatuan Eropah, dan berhasrat untuk memasang 200 lagi menjelang 2025.

    Harapannya adalah semakin ramai penduduk kampung melihat tandas tersebut berfungsi, semakin mereka mahu sanitasi yang lebih baik.

    Di luar Kemboja, WW juga telah memasang sistem ini di 12 kampung di Myanmar, tetapi kos merupakan penghalang besar untuk penggunaan yang meluas.

    Setiap tandas terapung berharga sekitarAS $175 – jumlah yang besar untuk komuniti nelayan di Tonle Sap, di mana pada hari baik seorang penduduk kampung mungkin memperoleh AS$5 saja.

    Hand berkata bahawa pasukannya sedang mempertimbangkan subsidi dalam jangka panjang untuk menurunkan kos sistem rawatan menjadi $35 hingga $40, menjadikannya lebih mampu untuk keluarga.

    Chan Sopheary, pegawai lapangan WW, berkata penduduk yang tinggal di sekitar Tasik Tonle Sap mulai mengubah tabiat mereka tentang sanitasi dan kebersihan, tetapi mereka belum bersedia membayar untuk tandas tersebut disebabkan kehidupan mereka yang miskin.

    “Kami tidak mampu membelinya kerana kami hanya memperoleh wang yang cukup untuk belanja harian,” suami Si Vorn iaitu Yoeun Sal memberitahu AFP selepas mandi di air di tepi rumahnya pada petang yang panas.

    “Jika tiada sesiapa membantu kami, kami akan terus menggunakan tasik (sebagai tandas),” tambahnya. – AFP

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...